Cuaca panas: KPM pantau kesihatan pelajar - Utusan Malaysia

Cuaca panas: KPM pantau kesihatan pelajar

WONG Kah Woh berucap ketika meninjau hari pertama sesi persekolahan di SJKT Tanjung Rambutan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau kesan cuaca panas terhadap kesihatan pelajar sekolah di seluruh negara apabila sesi persekolahan bermula semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setakat ini garis panduan yang telah ditetapkan akan diteruskan.

“KPM akan terus bekerjasama dengan KKM untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan pelajar.

“Selain itu, panduan kepada pihak sekolah secara berterusan dan ia bergantung kepada keadaan.

“Kebajikan dan kesihatan pelajar sentiasa menjadi tumpuan utama,” katanya pada pemberita selepas sesi lawatan rasmi hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanjung Rambutan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jadual waktu pengoperasian sekolah pada Ramadan ini akan berlangsung seperti ditetapkan meskipun beberapa negeri berdepan cuaca panas sehingga tahap berjaga-jaga.

Sementara itu, Kah Woh berkata, kes murid yang tercicir menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara peratusannya adalah minimum dan mereka akan menerima bantuan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata, isu keciciran itu mungkin melibatkan prosuder teknikal seperti murid-murid tersebut bertukar ke sekolah baharu.

“Setiap pelajar ataupun murid warganegara Malaysia tanpa mengira aliran sekolah, kaum, latar belakang dan pendapatan keluarga akan menerima RM150 setiap seorang.

“Tiada pemotongan yang dibuat dan saya percaya ibu bapa dan murid yang berpindah sekolah mungkin hadapi sedikit masalah melibatkan prosuder teknikal dan perkara itu boleh diselesaikan,” katanya.

Katanya lagi, KPM sentiasa komited bagi memastikan setiap pelajar yang layak menerima BAP sebanyak RM150.

“Sepanjang masa selepas dua bulan pengagihan BAP memang kami ada menerima aduan tetapi minima dan telah diselesaikan .

“Apa-apa isu ibu bapa bangkitkan saya nasihatkan maklumkan pada sekolah dan KPM sendiri. Kami sedia bantu dan pastikan wang itu (BAP) sampai kepada ibu bapa terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN