MANA-mana bufet Ramadan pasti menjadikan kambing golek sebagai menu tumpuan. Namun, berbeza bagi De.Wan 1958 oleh Cef Wan yang menjadikan ‘Paha Kambing Bakar’ sebagai menu paling laris.
Bertemakan Balik Kampung dan Juadah Desa, Group Executive Sous Chef, Cef Nadzri Redzuawan berkata, paha kambing itu diperap semalaman dengan gabungan sambal istimewa hasil kreativiti Cef Wan.
“Bahan perapan terdiri daripada sambal hijau dan sambal Portugis serta rempah ratus. Ia kemudian dibakar selama empat jam dengan api yang perlahan dan sedia dihidangkan.
“Teksturnya yang lembut dan senang dihiris membuatkan ia pasti cair di mulut. Paha kambing itu boleh dimakan dengan aneka pilihan sambal colek,” katanya semasa sesi pengenalan bufet berkenaan di Bangi Resort Hotel, baru-baru ini.

Cef Nadzri berkata, paha kambing sudah menjadi tanda dagang setiap kali bufet Ramadan dan kerap mendapat sambutan meriah daripada pengunjung.
“Kalau di Bangi Resort Hotel kita akan panggang sebanyak empat kambing, manakala di The Linc KL kebiasaannya akan menggunakan lapan kambing kerana kapasiti pengunjung yang lebih besar,” katanya.
Selain hotel tersebut, bufet turut disediakan di cawangan lain seperti The Linc KL dan pusat beli-belah Bangsar. Lebih menarik, The Linc KL menawarkan hidangan Paha Lembu yang pasti membuatkan anda kecur air liur.
Tetamu bebas memilih pelbagai menu pilihan lazat berasaskan warisan budaya di negara ini termasuk hidangan lauk-pauk berasaskan asam pedas, masak lemak cili api dan aneka kuih-muih Melayu. Sebanyak 100 hingga 200 menu disediakan mengikut lokasi bufet.
Antara pilihan yang disediakan ialah warung bakar-bakar, warung mee, warung satay, aneka nasi, santapan panas, sayur harian segar, warung kerabu kampung, sambal colek, warung tradisi dan warung sup.
KUIH-MUIH TEPATI SELERA

Berbanding di tempat lain, saya merasakan kuih-muih yang dihidangkan mempunyai rasa, bentuk dan tekstur cukup sifat.
Baik lompat tikam, putri mandi, tahi itik, puding diraja, nagasari dan nekbat rasa manisnya secukup rasa.
Pembuatan hidangan ini wajar menerima pujian kerana dibuat dengan begitu berhati-hati walaupun ia bukanlah juadah utama.
Sikap Cef Wan yang akan membuat lawatan mengejut di mana-mana premis miliknya, berjaya mendisiplinkan barisan cef dalam menghasilkan menu berkualiti.
Segelintir tempat mungkin mengambil vendor lain menyediakan hidangan sampingan yang berisiko menjejaskan rasa sajian itu.

Nama promosi dan hotel: Buffet Balik Kampung, De.Wan by Chef Wan, Bangi Resort Hotel
Tarikh: 15 Mac hingga 8 April 2024
Waktu Operasi: 6.30 petang hingga 9.30 malam
Harga: RM 158 (Dewasa), RM 125 (Warga emas) dan RM75 (kanak-kanak)
10 menu mesti cuba: Paha kambing bakar, ikan bakar Portugis, ikan siakap asam pedas, lemang pulut hitam, nasi pandan delima, nasi bunga talang, rendang ayam, salad kerabu kampung, sambal hitam dan kuih tradisi Melayu seperti nagasari, lompat tikam dan nekbat.










