SEPANG: Pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang akan bermula pada 1 Jun ini hanya melibatkan penyelarasan kadar bagi penerbangan destinasi ASEAN.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar penerbangan ASEAN akan diselaraskan mengikut kadar PSC antarabangsa yang disatukan sebagai kadar caj tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA.
Beliau berkata, kadar PSC ASEAN sebelum ini adalah pada harga RM35 tanpa menjejaskan kadar sedia ada bagi penerbangan antarabangsa di luar ASEAN.
“Kuasa menentukan caj ini adalah di bawah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang mana mereka membuat beberapa kajian semula setiap tiga tahun.
“Perbincangan berhubung pindaan kadar PSC ini ada dibincangkan bersama pihak Kementerian Pengangkutan (MOT). Ia bukan lah satu kadar baharu cuma melibatkan penyelarasan dan impak bagi destinasi ASEAN,” katanya ketika ditemui di Terminal 2, KLIA, di sini hari ini.
Pada 12 Mac lalu, Mavcom mengumumkan pindaan kepada Caj PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.
Mavcom memaklumkan bahawa pindaan itu adalah tanggungjawabnya dalam pengawalseliaan ekonomi Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC) di Malaysia di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).
Ia antara lain merangkumi kuasa untuk menetapkan caj perkhidmatan penerbangan seperti PSC, serta caj pendaratan dan parkir pesawat.
Menurut Loke, pelarasan kadar ini dilihat perlu memandangkan lapangan terbang di negara-negara jiran seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta tidak mempunyai kadar berbeza untuk destinasi ASEAN atau antarabangsa, malah ia diselaraskan.
Beliau berkata, ia adalah keputusan yang perlu dilaksanakan selepas perbincangan dibuat Mavcom bersama pelbagai pihak termasuk berunding dengan syarikat penerbangan serta MOT.
Loke pada masa sama menjelaskan, pelarasan kadar ini tidak menjejaskan harga tiket bagi mereka yang membeli sebelum 1 Jun walaupun tarikh penerbangan mereka selepas pelaksanaan pelarasan caj itu.
“Apa yang penting, bagi penerbangan domestik, tidak ada penambahan caj berlaku dan kekal pada harga RM11,” katanya.
Selain itu, Loke berkata, segmen baharu caj PSC transer turut dikenakan kepada penumpang tansit di semua lapangan terbang di Malaysia iaitu RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain.
“Ini hanya melibatkan mereka yang menggunakan KLIA untuk transit bagi penerbangan ke tempat lain. Sebelum ini, caj ini hanya dikenakan dari tempat dia bertolak contohnya dari London tetapi bila mereka sampai transit di KLIA tidak dikenakan caj dan caj itu tidak dibayar kepada KLIA.
“Sedangkan kita menawarkan kemudahan kepada penumpang transit di sini tanpa caj, jadi kita benarkan pengenalan caj baharu transit ini untuk penerbangan antarabangsa.
“Bagaimanapun bagi penumpang transit untuk penerbangan domestik, kita akan perincikan dan mengumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Loke melancarkan penerbangan sulung AirAia X ke Almaty, Kazakhtan. – UTUSAN











