Bunuh 23 penghuni tahfiz, pemuda kekal di penjara

Bunuh 23 penghuni tahfiz, pemuda kekal di penjara

KEBAKARAN pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September 2017 yang mengorbankan 23 nyawa manakala lima lagi cedera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan perintah terhadap seorang pemuda berusia 22 tahun supaya ditahan di penjara selama mana diperkenan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir lelaki itu (perayu) yang ketika kejadian berusia 16 tahun.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Datuk Nordin Hassan berpuas hati bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan, selamat untuk dikekalkan.

Ketika membacakan keputusan ringkasnya, Hakim Tengku Maimun berkata, pembelaan membangkitkan isu bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan, tidak cukup kukuh serta notis alibi yang dibangkitkan oleh perayu telah menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.

Beliau berkata, hakim bicara telah mencapai dapatan terhadap kredibiliti saksi-saksi terutama saksi pendakwaan ke-68 dan saksi pendakwaan ke-69 dan berpendapat ia berada dalam bidang kuasa hakim berkenaan.

“Hakim bicara mencapai dapatan bahawa keterangan ikut keadaan itu mencukupi untuk mensabitkan tertuduh. Kami berpuas hati tiada alasan yang boleh memaksa dan mewajarkan mahkamah untuk mengganggu keputusan itu,” ujar beliau selepas mendengar penghujahan panjang lebar kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah bagi pihak pendakwaan manakala peguam Haijan Omar berhujah mewakili pemuda berkenaan.

Hakim Tengku Maimun turut menyatakan, berhubung pembelaan alibi, undang-undang adalah jelas bahawa jika tidak terdapat motif, pembelaan alibi tidak boleh diguna pakai berhubung isu pengecaman.

Pemuda itu (penama pertama) merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengekalkan perintah agar dia ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Pihak pendakwaan tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan seorang lagi pemuda juga berusia 22 tahun (penama kedua) daripada kesalahan serupa.

Pada 11 September 2023, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.

Panel itu turut berpendapat, keterangan pihak pendakwaan begitu kuat bahawa penama pertama merupakan pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap kesemua pertuduhan.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat atas asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN