Bumiputera perlu utamakan pendidikan

Bumiputera perlu utamakan pendidikan

NOOR AZLAN GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sikap bumipu­tera yang tidak memberi keutamaan terhadap pendidikan dan pembangunan kerjaya menjadi punca kaum itu terus ketinggalan dalam banyak bidang.

Malah, pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan kerajaan untuk golongan bumiputera selama ini seperti tidak dimanfaatkan, seolah-olah tidak dipedulikan kerana dilihat tidak memberi kesan ke arah mengubah taraf kehidupan mereka.

Sehubungan itu, mereka diingatkan supaya mengubah pemikiran dengan memberi tumpuan dan menjadikan pendidikan sebagai bidang amat penting bagi memastikan taraf hidup bumiputera dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi.

Pengarah Institut Pemba­ngunan dan Kemajuan In­klusif Malaysia, Universiti Ke­bangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr. Noor Azlan Gha­zali ber­kata, keutamaan ter­hadap pendidikan dan pembangunan kerjaya dalam kalangan bumiputera masih rendah.

Menurutnya, perkara tersebut didapati melalui kajian dan soal jawab bersama golo­ngan bumiputera dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pendidikan.

“Kita juga dapati telah ada anjakan dalam kalangan pelajar bumiputera yang keluar dari sistem pendidikan kebangsaan dan pergi ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan atau antarabangsa.

“Apabila kami bertemu de­ngan pengendali-pengendali pendidikan sepertia institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), mereka menyampaikan bahawa mereka dapat merasai sikap antara bumiputera dan kaum lain berbeza,” katanya semasa membentangkan kertas kerja Reformasi Pendidikan dan Modal Insan di Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).

KEB 2024 yang diadakan selama tiga hari sehingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) merupakan agenda pen­ting kerajaan bagi merombak dan melonjak pembangunan sosio­ekonomi bumiputera secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, kerajaan perlu memastikan polisi-polisi afirmatif negara adalah proproduktif.

“Ada negara yang memberi bantuan seperti kita iaitu bantuan tunai tetapi diikat dengan kehadiran anak ke sekolah dan ada juga seperti mengikat kehadiran ke dalam program pendidikan seperti kolej-kolej komuniti ataupun GiatMara.

“Ini supaya mereka menjadi lebih produktif, penting untuk kita pastikan perkara ini. Penekanan terhadap pendidikan dan modal insan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Tambahnya, pendidikan awal kanak-kanak perlu disemak semula sama ada perlunya mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke tadika.

“Kami dapati terutama di kawasan luar bandar, kualiti pendidikan awal kanak-kanak memang jauh berbeza. Jadi, perlu cari jalan untuk tingkatkan kualiti tersebut.

“Mungkin memberi beberapa geran kepada pengusaha bumiputera untuk membuka tempat pendidikan awal kanak-kanak atau tadika di kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad berkata, sikap ibu bapa bumiputera yang tidak peduli untuk memantau pelajaran anak-anak dan menyerah bulat-bulat kepada sekolah antara punca kaum tersebut terus ketinggalan.

Jelasnya, bantuan disediakan kerajaan selama ini tidak memberi kesan ke arah mengubah taraf kehidupan bumiputera berbanding kaum lain yang mementingkan pendidikan.

Beliau berkata, ada beberapa faktor mengapa ibu bapa mengabaikan pendidikan anak-anak, antaranya terpaksa bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga atau ibu bapa bersikap tidak mahu penduli dengan pendidikan.

“Ada ibu bapa susah dan terpaksa kerja membanting tulang siang dan malam untuk menyara anak-anak. Jadi, mungkin susah untuk mereka memantau anak di rumah.

“Namun, ada juga ibu bapa yang langsung tidak ambil peduli walaupun hidup dalam kesenangan dan mempunyai banyak masa di rumah tetapi serah bulat-bulat kepada sekolah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) UKM, Profesor Dr. Mohamad Sattar Rasul memberi tahu, kerajaan harus terus memberi bantuan berterusan dan bukannya one-off (sekali beri) secara bersasar.

“Bantuan harus diberi secara bersasar kepada yang betul-betul layak berdasarkan prestasi akademik anak-anak mereka.

“Pelajar yang mendapat keputusan prestasi tinggi ini seharusnya diberi penghargaan daripada kerajaan dan itulah bantuan bersasar sebenarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×