PUTRAJAYA: Umat Islam di seluruh negara terutamanya para peminat astronomi tempatan ‘gempar’ apabila bulan penuh atau purnama tiba-tiba muncul lebih awal pada malam Ahad lalu.
Kejadian aneh yang dianggap sebagai nadir itu turut mencetuskan spekulasi dan tanda tanya kemungkinan besar Ramadan kali ini cuma setakat 29 hari dan tidak genap 30 hari.
Ramai kalangan warganet turut membayangkan bahawa semalam telah pun 15 Ramadan berdasarkan fenomena imej bulan tersebut yang sepatutnya berlaku pada malam semalam.
Ia berdasarkan hantaran infografik Agensi Angkasa Malaysia menerusi media sosialnya yang memaklumkan fasa bulan purnama hanya pukul 3 petang semalam.
Ironinya, kejadian malam kelmarin itu turut menyaksikan dua stesen radio berbahasa Melayu di Singapura, Warna dan Ria sudah pun menyiarkan lagu-lagu bertemakan Hari Raya Puasa.
Kelazimannya, kedua-dua siaran saluran milik MediaCorp itu; yang juga dapat diikuti di Malaysia, cuma memasang lagu-lagu berkenaan bermula 15 Ramadan.
Ditanya perkara pelik itu kepada Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah, beliau menjangkakan puasa kali ini ialah 29 hari.
“Insya-Allah, berdasarkan pengalaman saya sendiri kebarangkalian besar Ramadan tahun ini mungkin sehingga 29 hari sahaja,” katanya yang juga merupakan pakar falak tempatan.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan tiada kejutan seperti pada 2022 yang mencetuskan situasi ‘Raya Terkejut’ kerana takwim semasa memang menunjukkan puasa cuma 29 hari.
Ia sekali gus memberikan panduan kepada umat Islam untuk melakukan persiapan awal dan mungkin hanya akan ‘terperanjat’ jika Ramadan kali ini digenapkan pula 30 hari penuh.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer turut sependapat dengan merujuk hisab atau ilmu kiraan rukyah hilal bulan tersebut.
Menurutnya, kedudukan anak bulan Ramadan di titik paling barat di Malaysia iaitu Pulau Perak, Kedah bakal memenuhi kriteria imkanur rukyah pada lewat petang 9 April kelak.
“Altitud bulan adalah tujuh darjah 30 minit manakala jarak lengkung antara pusat matahari dengan bulan pula lapan darjah 32 minit dan tempoh bulan di ufuk ialah 32 minit,” katanya.
Berdasarkan kiraan sudut berkenaan ujar beliau, ia menunjukkan bahawa hilal sudah pun melepasi kriteria imkanur rukyah yang diwartakan oleh Majlis Raja-Raja pada 2021 lalu.
Justeru tambahnya, mengikut congak hisab tersebut, tarikh 1 Syawal di Malaysia untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri diunjurkan pada keesokan iaitu 10 April dan bukan 11 April.
Pulau Perak meskipun tidak termasuk dalam senarai 29 lokasi pencerapan ditetapkan, namun ia dijadikan panduan pakar falak kerana kedudukannya paling barat di negara ini.
Beliau walau bagaimanapun menegaskan bahawa tarikh rasmi perayaan tersebut hanya akan dimuktamadkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada malam itu. – UTUSAN










