KANGAR: Desakan Pemuda UMNO agar mewujudkan sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan bukan untuk mencabar Perlembagaan atau Mahkamah Persekutuan sebaliknya mahu melihat ke arah Malaysia yang lebih bersatu melibatkan pelbagai kaum pada pada masa hadapan.
Bagi pihak pergerakan Pemuda negeri, mereka menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkenaan pendidikan satu aliran bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Fariddil Jasmi berkata, kalau dilihat, hanya Malaysia sahaja mempunyai penduduk berbilang kaum namun masih mempunyai sekolah berbeza aliran mengikut kaum.
“Kami Pemuda Umno bukan mencabar Perlembagaan dan Mahkamah Persekutuan tetapi kami mahukan perubahan ke arah Malaysia yang bersatu padu pada masa hadapan.
“Cadangan tersebut wajar dikaji memandangkan kerajaan pada masa kini mementingkan perpaduan sesama kaum di Malaysia. Jika inginkan Malaysia yang harmoni dan hidup bersatu padu antara kaum adalah perlu dimulakan semasa di sekolah lagi,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Pemuda UMNO akan mengusulkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran
kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.
Muhamad Akmal dilaporkan berkata, ini kerana rakyat Malaysia telah dibezakan sejak kecil oleh sekolah yang mewakili kaum tertentu seperti sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT).
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendirian tegas untuk menghormati Akta Pendidikan 1996 yang mengiktiraf kedudukan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular di negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, beliau tidak bercadang untuk menyemak atau membuat sebarang perubahan berhubung sekolah vernakular walaupun perkara tersebut kerap kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
Tambah Saiful Fariddil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar, sekolah pelbagai aliran perlu dimansuhkan dengan memperkenalkan pendidikan beraliran tunggal yang dilihat perlu pada masa sekarang.-UTUSAN










