MELAKA: Umat Islam di negeri ini atau pelancong ke Melaka dinasihatkan memilih premis yang memiliki sijil halal ketika berbuka puasa, terutama hotel-hotel yang banyak mempromosi bufet Ramadan ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengeluarkan senarai 26 hotel di Melaka yang mempunyai pensijilan halal.
Kata beliau, orang ramai diminta merujuk senarai tersebut sebagai panduan sewaktu memilih sesuatu premis untuk berbuka puasa.
“JAIM seperti mana tahun-tahun sebelumnya telah mengeluarkan senarai terkini premis-premis hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa yang telah mendapat pensijilan halal. Maka saranan saya kepada orang ramai apabila berbuka puasa pilihlah hotel yang ada sijil-sijil halal.
“Ini lebih baik untuk mengelakkan rasa was-was dalam diri selain memastikan makanan yang disediakan itu bersih dan halal di makan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, JAIM dalam kemaskini terbaharu pada 28 Februari lalu mengeluarkan senarai 26 senarai hotel yang mempunyai sijil halal dan tempoh sah laku.
Semakan mendapati, tarikh tamat sijil halal adalah berbeza bagi setiap hotel iaitu antara 15 Mac 2024 hingga 28 Februari 2026. –UTUSAN










