BUTTERWORTH : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penambahbaikan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) menerusi pemakaian peranti pengapungan peribadi (PFD) untuk anggota yang menjalankan tugas penyelenggaraan bot.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, arahan itu berkuatkuasa serta-merta bagi menjaga keselamatan anggota susulan kejadian lemas membabitkan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP), Allahyarham Mohd. Izwan Illias pada 22 Februari lalu.
“Ada tiga SOP yang diguna pakai ketika pengoperasian di air dan semasa menggunakan bot di mana dua daripadanya perlu ditambah baik khususnya elemen pemakaian PFD sebab ia tidak dinyatakan dengan jelas.
“Sebelum ini, pemakaian (PFD) banyak difokuskan semasa operasi-operasi (penyelamatan) sahaja. Jadi, sekarang kita tambah baik dengan mewajibkan pemakaian PFD itu semasa anggota bertugas.
“Maknanya, selagi anggota itu berada di dalam bot dan di dalam air, sama ada sedang selenggara bot atau sebagainya, perlulah pakai PFD bagi melindungi diri sekali gus mengurangkan risiko lemas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hisham berkata beliau telah memperolehi laporan lengkap berhubung kes terbabit daripada jawatankuasa siasatan yang diketuai Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Syufaat Kamaron.
Katanya, hasil siasatan mendapati punca kejadian itu adalah disebabkan oleh kemalangan dan tidak melibatkan elemen lain.
“Ini kes pertama yang melibatkan kematian anggota ketika menyelenggara aset. Sebelum ini, kebanyakan kes melibatkan kematian anggota adalah semasa operasi,” katanya.
Pada 22 Februari lalu, media melaporkan Mohd Izwan yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth lemas ketika sedang menyelenggara bot di Jeti Pngkalan Marin JBPM Mak Mandin.
Mayat mangsa akhirnya dijumpai selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.-UTUSAN










