NIBONG TEBAL : Guru wanita yang dikatakan bercinta dengan pelajarnya dekat sebuah sekolah menengah di Sepang, Selangor baru-baru ini direhatkan daripada tugas tersebut sehingga siasatan kes itu selesai.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, guru wanita itu perlu mematuhi sepenuhnya prosedur siasatan kes tersebut yang dijalankan pihak polis terlebih dahulu sebelum Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan seterusnya.
Fadhlina berkata, ketika ini, kes terbabit masih dalam siasatan polis dan pihaknya akan memberikan komitmen sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Ia (kes guru bercinta dengan pelajar) masih dalam siasatan di peringkat polis. Maka, sebab itulah saya tegaskan berulang kali yang KPM memberikan komitmen sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Pada masa sama, kami, ketika ini juga mengambil pendekatan untuk melindungi anak-anak kita ini sepenuhnya dan guru wanita itu tidak ada langsung cara untuk akses (berjumpa) dengan pelajar terbabit kerana kita telah melindunginya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan siasatan kes seorang guru wanita yang didakwa bercinta dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun hingga tular di media sosial.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini, malam ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM140,000 bagi meraikan 21 masjid, 56 surau dan 126 individu terdiri daripada imam, bilal dan siak seluruh Parlimen Nibong Tebal.
Terdahulu, media melaporkan penularan pendedahan perlakuan tidak bermoral melibatkan seorang guru wanita yang bercinta dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun di aplikasi X atau lebih dikenali sebagai laman Twitter sebelum ini.
Menurut hantaran dalam aplikasi berkenaan, pendidik tersebut yang juga ibu lima anak itu sudah beberapa kali mendekati ‘adiknya’ sehingga laporan polis terpaksa dibuat selain aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan, guru berusia 37 tahun itu didakwa pernah memeluk dan mencium leher murid tingkatan empat di perpustakaan sekolah sehingga meninggalkan kesan kemerahan sekitar Disember tahun lalu.-UTUSAN










