BUKIT GANTANG: Ketiadaan beras tempatan di pasaran bukan kes terpencil atau berlaku di beberapa kawasan sahaja seperti yang didakwa.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tinjauan mendapati berlaku kesukaran untuk mendapatkan beras tempatan termasuk di pasar raya terkemuka di seluruh negara.
Menurut beliau, sehubungan itu kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah tersebut supaya rakyat tidak terbeban.
“Dakwaan kekurangan bekalan beras putih tempatan tiada di pasaran hanya berlaku di beberapa kawasan dan merupakan isu terpencil merupakan satu kenyataan yang tidak tepat.
“Malah tinjauan di 30 pasar raya terkemuka di seluruh negara gagal menemukan beras tempatan, jadi masalah ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil, ia kes besar” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran merupakan kes terpencil kerana ia melibatkan beberapa kawasan sahaja.
Syed Abu Hussin bimbang jika isu itu tidak segera ditangani segera, ia menyebabkan rakyat semakin tertekan akibat kos sara hidup yang makin meningkat.
“Sehubungan itu kerajaan perlu bertindak agresif dengan segera bagi mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan rakyat terus terbeban dengan isu ini,” katanya. – UTUSAN










