BUKIT MERTAJAM : Dua buah bazar Ramadan di negeri ini terpilih sebagai perintis untuk program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang pada tahun ini.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, bazar tersebut ialah bazar Jalan Mahkamah di Bayan Lepas dan bazar Ban Busuk di Kubang Semang di sini.
Beliau berkata, sebanyak RM160,000 juga telah diperuntukkan untuk tujuan itu dalam usaha menggalakkan amalan penggunaan e-dompet dalam kalangan pengguna untuk melakukan sebarang transaksi pembelian.
“Program ReDI telah dimulakan di bazar Jalan Mahkamah Bayan Lepas pada 15 dan 27 Mac lepas manakala di bazar Ban Busuk, Kubang Semang pula, ia diadakan pada 22 Mac lepas.
“Dalam hal ini, kita bekerjasama dengan penyedia e-dompet iaitu TNG Digital Sdn. Bhd. dengan menyalurkan pemberian insentif sebanyak RM20 kepada 2,000 pengunjung terawal yang hadir ke kedua-dua bazar terbabit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ sempena program Inisiatif ReDI di sini, semalam.
Tambah Jegan, setakat ini, seramai 35 peniaga di dua bazar tersebut telah menyertai program BRR dengan menawarkan pelbagai juadah berbuka berkonsepkan Rahmah pada harga maksimum RM5.
Selain itu katanya, peniaga yang menyertai program BBR turut menerima pemberian insentif berupa kad petrol Caltex bernilai RM50 daripada syarikat Pen Petroleum Sdn. Bhd.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sebanyak 1,432 pemeriksaan telah dijalankan oleh KPDN Pulau Pinang terhadap premis-premis di sekitar negeri ini menerusi Ops Pantau bermula 12 Mac lepas.
“Dalam tempoh itu, kita telah berjaya menghasilkan 18 kes membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM289,589.
“Kita ada penguatkuasa dan pegawai pemantau harga yang melakukan pemantauan setiap hari di premis dan di bazar-bazar ramadan. Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang aduan diterima mengenai peniaga yang menjual barangan dan makanan pada harga melampau di negeri ini,” katanya.-UTUSAN










