SHAH ALAM: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperkenalkan sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) bagi penyeragaman tadbir urus kepimpinan peringkat pusat hingga ke ranting.
Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek berkata, objektif inisiatif itu bagi mengorak langkah ke arah pendigitalan dan menyahut aspirasi Kerajaan Madani dalam menggapai pembangunan mampan.
Menurutnya, ASAK akan digunakan sepenuhnya bagi mengurus dan mentadbir terutama berkaitan data lebih 400,000 ahli Wanita PKR di seluruh negara.
“Sistem ini berfungsi memperkukuhkan lagi proses pentadbiran termasuk berkaitan isu keahlian, mesyuarat agong dan kongres tahunan.
“Ia melibatkan wanita PKR di semua cabang parti termasuk mengenalpasti demografi ahli dan isu bantuan yang boleh disalurkan kelak,” katanya ketika ditemui selepas meluncurkan ASAK, baru-baru ini.
Peluncuran itu bersempena Hari Wanita Sedunia yang dihadiri lebih 200 pimpinan wanita dari seluruh negara serta turut meliputi pemberian peranti bagi penggunaan sistem berkenaan.
Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, ASAK meliputi komponen yang terdiri daripada maklumat, pengurusan surat menyurat, organisasi, mesyuarat dan takwim.
“Ia juga antara langkah menuju ke arah pengurangan penggunaan kertas dan meningkatkan lagi keberkesanan pentadbiran organisasi.
“Sesi taklimat secara dalam talian juga akan dilaksanakan mengikut zon negeri bagi memberi kefahaman mengenai sistem itu selain siri jelajah dan latihan sehingga Julai depan,” ujarnya.
Tambah beliau, ASAK turut diharap digunakan sepenuhnya bagi Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang dan Kongres Wanita PKR pada tahun ini.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agong PKR yang juga Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, pihaknya menerusi lebih 22,000 ahli wanita akan menggunakan sepenuhnya sistem tersebut.
“Selain melancarkan proses pengurusan, ASAK dilihat dapat memperkasakan kemahiran dalam literasi digital dan meningkatkan daya saing wanita dalam parti.
“Pelancaran sistem itu juga usaha bersama mendukung matlamat yang mahu dicapai oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN










