NEW YORK: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta (RM47 juta) mengenai sebarang maklumat tentang tujuh lelaki warga China yang didakwa menggodam akaun dalam talian milik rakyat negara ini.
Jutaan akaun dalam talian milik rakyat AS terperangkap dalam komplot penggodaman China yang menyasarkan pegawai, ahli perniagaan, ahli politik dan pengkritik dasar China.
Maklumat itu didedahkan oleh Jabatan Kehakiman dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang berjaya mengesan tujuh warga China yang didakwa melancarkan kempen serangan siber secara meluas.
Kesemua tertuduh mempunyai kaitan dengan operasi penggodaman yang dijalankan selama 14 tahun.
Tujuh lelaki itu didakwa menghantar lebih 10,000 emel berniat jahat yang memberi kesan kepada ribuan mangsa merentasi pelbagai benua.
Aktiviti penggodaman global yang prolifik itu didakwa mendapat sokongan oleh kerajaan China.
Pengarah FBI, Christopher Wray menegaskan usaha berterusan dan sikap kurang ajar China itu menjejaskan keselamatan siber dan inovasi rakyat AS.
“Selagi China terus menyasarkan AS dan rakan kongsi kami, FBI akan terus menghantar mesej jelas mengenai pengintipan siber tidak sesekali diterima.
“Kami akan mengejar mereka yang mengancam keselamatan dan kemakmuran negara tanpa mengenal erti penat lelah,” jelasnya.
Jurucakap Kedutaan China di Washington menegaskan tanpa bukti yang sah, tuduhan tidak berasas serta tanpa bukti yang sah amatlah tidak wajar.
Sebelum ini, Kerajaan United Kingdom (UK) turut menuduh China bertanggungjawab terhadap ‘kempen siber berniat jahat’ yang menyasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan ahli politik negara itu.
Kerajaan New Zealand turut mendedahkan institusi Parlimen menjadi sasaran penggodam yang disokong oleh Kerajaan China.
Bagaimanapun, Diplomat Kedutaan China di London menafikan tuduhan itu kerana merupakan fitnah yang direka-reka dan berniat jahat.-BBC










