ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan alasan beliau suka membocor maklumat yang menjadi faktor tidak ada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri diadakan sebagai tidak masuk akal.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, sudah lama ceramah di peringkat cawangan tidak diadakan di Kedah sebagaimana yang didakwa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, tiada rahsia kerajaan yang bocor walaupun beliau telah menghadiri mesyuarat peringkat lebih tinggi seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara, Majlis Air Negara, Majlis Kerajaan Tempatan dan Majlis Perancangan Fizikal Negara.
“Rahsia yang lebih besar daripada ‘rahsia kerajaan’ yang saya dedahkan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Mac lalu adalah tidak pernah ada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sejak November 2022.
“Sebetulnya dia (Saifuddin) kena mengakui bahawa hal ini masalah diri dia, bukan masalah saya. Jangan-jangan beliau malu mata nak mesyuarat bersama? Saya telah bermesyuarat dengan Perdana Menteri berulang kali tanpa sebarang masalah kerana kita sedar topi apa sedang kita pakai,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Saifuddin yang merupakan Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah mendakwa Muhammad Sanusi tidak menjaga tertib dan etika mesyuarat setelah didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat dihadirinya sebagai modal berceramah di pentas politik.
Tambah Muhammad Sanusi, kebimbangan tentang kebocoran rahsia kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ kerana semua maklumat kerajaan akan sampai ke pengetahun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan beliau bila tiba masanya.
“Umum mengetahui bagaimana beliau ‘gedik berlebihan’ bermain politik keterlaluan, mengekploitasi maklumat kerajaan dan menggunakan kuasa agensi Persekutuan untuk memburukkan kerajaan Kedah,” katanya.
Ujarnya, sepanjang empat tahun memerintah Kedah, tidak pernah ada kejadian seumpama itu berlaku, malah Pengerusi bersama sebelum ini iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menyusun dan memanggil mesyuarat berjadual sebanyak tiga atau empat kali setahun.
“Mesyuarat ini penting sebagai punca kuasa sesuatu arahan segera dikeluarkan kepada agensi dan jabatan untuk mempercepat dan melicinkan proses pelaksanaan sesuatu projek.
“Majlis ini melibatkan semua agensi negeri dan Persekutuan yang bertujuan memantau isu-isu berbangkit dan memutuskan langkah segera perlu diambil oleh pihak terbabit berasaskan bidang kuasa masing-masing.
“Ianya penting berdasarkan bidang kuasa negeri dan Kerajaan Persekutuan berasaskan Senarai Persekutuan, Senarai Bersama dan Senarai Negeri yang diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -UTUSAN










