Buka puasa percuma galak imarahkan masjid

Buka puasa percuma galak imarahkan masjid

SEBAHAGIAN daripada jemaah yang berbuka puasa secara percuma di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Aktiviti berbuka puasa secara percuma merupakan antara inisiatif pihak pengurusan Masjid Seberang Takir di sini, bagi menarik minat masyarakat mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

Pengerusinya, Zakaria Dagang berkata, pihak masjid memperuntukkan RM600 sehari untuk berbuka puasa percuma dan hampir RM45,000 sebulan diperuntukkan untuk aktiviti termasuk moreh, bersahur dan bantuan asnaf.

Menurut Zakaria, hampir 100 orang hadir berjemaah dan berbuka puasa di masjid setiap hari terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk ahli kariah dan golongan musafir.

Katanya, aktiviti berkenaan kini masuk tahun ketiga dengan kos perbelanjaan diterima melalui sumbangan individu serta infaq dan sedekah orang ramai pada bulan Ramadan.

“Penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma ini sudah dilaksanakan sejak 2022 antara lain bagi menarik minat lebih ramai golongan masyarakat mengimarahkan masjid kami.

“Di Masjid Seberang Takir, jemaah akan dihidangkan kurma dan air mineral untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu sebelum menjamah nasi serta lauk lain.

“Pada Ramadan ini, kita sediakan RM600 sehari untuk berbuka puasa, RM400 sehari untuk bermoreh dan RM400 lagi untuk bersahur yang akan bermula pada 10 malam terakhir,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, seorang jemaah, Tengku Sulaiman Tengku Ngah, 49, berkata, aktiviti berbuka puasa percuma di masjid ini disifatkan langkah yang tepat terutama bagi mengajak golongan muda mendekatkan diri dengan rumah Allah.

“Sejak Ramadan tahun lalu saya akan bawa keluarga untuk berjemaah pada hujung minggu dan dengan cara ini, kita boleh bersederhana lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN