800,000 pengunjung bakal serbu Festival Ramadan Putrajaya

800,000 pengunjung bakal serbu Festival Ramadan Putrajaya

Orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP 2024) menyasarkan kedatangan 800,000 pengunjung ke acara itu di beberapa lokasi di Pusat Pentadbiran Kerajaan itu.

Unjuran pengunjung itu berdasarkan enam komponen penganjuran festival berkenaan dengan paling utama mengekalkan acara tradisi Bazar Ramadan yang menghimpunkan 1,000 jenis menu ditawarkan 700 peniaga di lima tapak lokasi terpilih.

Lima lokasi itu ialah tapak utama di Presint 3 (285 tapak niaga), Presint 9 (50 tapak), Presint 11(100 tapak), Presint 14 (135 tapak) dan Presint 16 (120 tapak).

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pengunjung juga berpeluang ke tapak Anjung Syawal iaitu antara bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Kelang dengan penyertaan lebih 250 peniaga.

“Port baharu ‘healing station’ (Khemah lutsinar dan berlampu) disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk pengunjung berbuka puasa.

“Sejumlah 20 lot niaga juadah berbuka turut disediakan di sepanjang Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan kemudahan kerusi meja berkonsep kafe luaran di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (Ppj),” katanya di sini semalam.

Fadlun berkata, antara lokasi tumpuan berbuka puasa ialah laman berbuka puasa iaitu di kawasan lapang padang rumput di hadapan Kompleks Ppj dalam suasana berkelah dan santai.

Pada masa sama, pengunjung turut mempunyai pilihan ke lokasi Food Truck Ramadan di Anjung syawal untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Pentas utama FRP 2024 juga disediakan dengan kemudahan paparan LED bagi menampilkan pengisian kerohanian sepanjang 30 hari Ramadan di samping menampilkan pendakwah selebriti dan Meet & Greet bersama pempengaruh dan penyedia kandungan Tik Tok.

“Kawasan sekitar PPj dihias indah dan ceria dengan lampu-lampu pelbagai warna supaya para pengunjung pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat dapat merasai suasana meriah untuk bersantai bersama keluarga dan teman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini