SHAH ALAM: Seramai 61 pekerja sebuah premis yang dijadikan sebagai rumah judi terbuka dibenarkan diikat jamin lebih RM300,000 selepas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Antara pekerjaan dilakukan mereka seperti pembangun perisian, pengurus teknologi maklumat (IT), pereka web, pereka grafik, pemasaran, pembangunan dan penganalisis perniagaan.
Kesemua mereka terdiri daripada 49 lelaki dan 12 wanita membuat pengakuan demikian dekat empat mahkamah berbeza di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali, Sasha Diana Sabtu, Farah Rosnan dan Muhammad Syafiq Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh berusia 23 hingga 43 tahun itu didakwa membantu dan mengurus dekat lapan buah premis yang dijadikan sebagai sebuah rumah judi terbuka.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah pusat beli belah di USJ, Subang Jaya pada 18 Mac lalu dan dituduh di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM50,000 serta denda sehingga RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang serta memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kesemua tertuduh Paramjit Kaur, Premjeet Singh Gill, Navin Punj, Dinesh Kumar dan New Sin Yew memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 berdasarkan keadaan tertuduh.
“Jaminan hanyalah untuk memastikan tertuduh menghadiri perbicaraan di mahkamah, manakala pertuduhan dihadapi pula adalah kesalahan yang boleh dijamin. Saya juga percaya anak guam tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Mereka juga bukanlah individu yang berisiko (melakukan jenayah berat). Jadi saya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan jumlah jaminan RM1,500 bagi setiap tertuduh,” kata Premjeet Singh.
Bagaimanapun, kesemua majistret kemudian menetapkan jumlah jaminan antara RM4,000 hingga RM6,000 setiap orang dengan jumlah terkumpul lebih RM300,000.
Dalam masa sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 15 Mei dan 11 Jun untuk sebutan semula dan serahan dokumen.
Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman; Kamarul Iman Ahmad Sapian; Saidah Fasihah Che Yussoff dan Annur Athirah Amran.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan polis menahan 84 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai berperanan membangunkan aplikasi judi dalam talian untuk pasaran luar negara dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, pada Isnin lepas.
Menurutnya, dalam serbuan pada 3.15 petang itu pihaknya turut merampas 94 komputer riba, 105 telefon bimbit, enam kenderaan mewah serta wang tunai berjumlah RM15,849.
Berdasarkan siasatan awal, sindiket itu berdaftar sebagai sebuah syarikat IT yang menggajikan semua individu terbabit sebagai pekerja teknologi maklumat untuk membangunkan aplikasi judi bagi pasaran Thailand, Brazil, China dan Vietnam dengan menawarkan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000 sebulan. – UTUSAN










