KUALA LUMPUR: Seramai 3,451 individu menyertai program perintis pemberian Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang dilaksanakan kerajaan sebagai usaha mencegah penularan penyakit HIV setakat 11 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PrEP adalah kaedah pencegahan HIV yang terbukti berkesan apabila pemberian tersebut dapat mencegah sehingga ke paras 99 peratus penularan HIV secara seksual.
Kata beliau, program perrintis tersebut dimulakan sejak Januari 2023 di 18 klinik kesihatan sebelum ia diperluas ke tiga klinik kesihatan lain pada pertengahan tahun sama.
“Sehingga 11 Januari lalu, seramai 3,451 individu menerima PrEP. Analisis awal terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis dari 11 (peratus) kepada 6.5 (peratus) selepas enam bulan dan 1.3 (peratus) selepas 12 bulan penggunaan PrEP.
“Klien yang sentiasa menggunakan kondom meningkat daripada 38.6 peratus selepas enam bulan dan 44 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang memintanya menyatakan status terkini program PrEP kepada individu yang mempunyai pasangan HIV positif terutama yang mengamalkan seks bebas dan songsang.
Dr. Dzulkefly berkata, peratus lain bagi yang mempunyai satu pasangan seksual atau monogami meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas enam bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.
Jelasnya, terdapat 51 klien yang sudah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.
“Hasil dapatan awal menunjukkan klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang baik walaupun masih sedang menggunakan PrEP.
“Program ini akan diperluas kepada 10 buah klinik kesihatan pada 2024,” katanya. – UTUSAN










