25 jemaah haji menang saman, HSTT diarah bayar RM634,400

25 jemaah haji menang saman, HSTT diarah bayar RM634,400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 25 jemaah haji berjaya dalam tuntutannya samannya terhadap syarikat pelancongan, Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn. Bhd. (HSTT) selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam mengarahkan syarikat itu membayar baki bayaran pakej haji furada sejumlah RM634,400.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang difailkan oleh 25 jemaah haji itu terhadap syarikat berkenaan yang dinamakan sebagai defendan.

Hakim tersebut turut menolak tuntutan balas yang difailkan defendan yang menuntut ganti rugi sebanyak RM479,350. HSTT turut diperintahkan untuk membayar kos RM75,000 kepada kesemua plaintif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Plaintif terdiri daripada 15 individu yang telah menerima e-visa tetapi terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah atas dakwaan menggunakan visa palsu manakala bakinya merupakan jemaah yang telah melunaskan semua bayaran pakej haji namun belum mendapat e-visa.

Dalam saman difailkan pada Ogos 2020, kesemua plaintif me­nyatakan bahawa pada sekitar 2019, mereka telah dipelawa untuk menyertai pakej haji furada bagi tahun 2019 dan diberikan jaminan bahawa wang akan dipulangkan sekiranya pakej itu gagal.

Kesemua plaintif kemudian membayar pakej masing-masing yang mana keseluruhannya bayaran berjumlah RM795,000.

Pada 31 Julai 2019, defendan telah memaklumkan bahawa e-visa telah dikeluarkan bagi 26 orang jemaah termasuk 15 plaintif dalam kes ini. Bagi jemaah yang belum menerima e-visa didakwa telah dipelawa untuk memperoleh visa melalui kuota Visa Raja Salman dengan membuat bayaran seba­nyak RM7,000.00 setiap seorang.

Jemaah yang menerima e-visa telah memulakan perjalanan ke Jeddah pada 5 Ogos 2019 tanpa diiringi mutawif.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, 26 orang jemaah terma­suk 15 orang plaintif gagal melepasi kaunter imigresen di lapangan terbang itu selepas imbasan dibuat terhadap e-visa berkenaan memapar identiti individu berbeza.

Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di lantai serta kerusi, kesemua jemaah diarahkan pulang ke Malaysia 7 Ogos 2019. Kesemua 26 jemaah juga wajib melaksanakan Tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang telah diniatkan.

Peguam, Khairun Nisa Husnin ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan prosiding hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Tambahnya, saman yang difailkan pada mulanya menyenaraikan enam orang defendan termasuk Pengarah HSTT, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan namun semalam, mahkamah hanya membenarkan saman tersebut bagi HSTT sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini