SEREMBAN: Sebanyak 20 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Awam (UA) dan tujuh MPP Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara bakal menerima peruntukan sebanyak RM20,000.
Peruntukan tersebut diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kepada semua MPP yang menyertai Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (Karisma) selama tiga hari dua malam di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), di sini, semalam.
Menurut Zambry, program berkenaan amat penting dalam usaha kementerian memberi anjakan paradigma kepada mahasiswa supaya mereka dapat membuat persiapan sebagai pemimpin masa kini dan juga masa hadapan.
“Malah, pihak kementerian juga kini sedang dalam rangka program yang bukan hanya bersifat nasional, tetapi juga bersifat antarabangsa buat barisan pemimpin MPP ini. Keseluruhannya dalam program ini mereka dapat memberikan pelbagai pandangan secara terus kepada saya dan timbalan menteri.
“Program seumpama ini perlu menjadi program tahunan yang menghimpunkan para pemimpin pelajar untuk berdialog, mencerakin idea dan mengolah idealisme kepimpinan mahasiswa pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena program Karisma anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Akept dan Akademi Kenegaraan (AKAR) yang disertai 95 pemimpin mahasiswa UA dan IPTS di sini.
Terdahulu dalam sesi dialog, Zambry turut menjawab persoalan wakil MPP berkenaan ketandusan pemimpin dalam kalangan mahasiswa dalam UA sehingga ada MPP yang menang tanpa bertanding.
Malah wakil pelajar itu turut mencadangkan agar dapat menyelaraskan kemudahan yang sama kepada semua MPP di seluruh negara termasuk pemberian elaun mengikut semester atau bulanan sebagai motivasi pelajar menyertai MPP.
Zambry kemudiannya memaklumkan MPP bakal mempunyai peluang untuk menjana pendapatan sendiri dalam menjalankan pelbagai aktiviti mereka termasuk menguruskan kewangan sendiri.
Menurut beliau, pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dibentangkan bacaan kali kedua dalam Dewan Rakyat tidak lama lagi.
Sementara itu, Zambry meminta pihak pengurusan universiti awam untuk memantau penginapan pelajar usang bagi persekitaran lebih selesa buat pelajar.
Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada penginapan yang berusia lebih 20 tahun yang dikesan tidak pernah dibaik pulih dalam tempoh berkenaan.
“Saya telah mengarahkan pihak universiti untuk memastikan penyelenggaraan kampus di seluruh diberikan keutamaan,” jelasnya. – UTUSAN










