1,000 peluang kerja berkait peralihan tenaga dibuka

1,000 peluang kerja berkait peralihan tenaga dibuka untuk bumiputera

FADILLAH Yusof ketika berucap pada KEB 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 1,000 peluang kerja baharu dalam bidang peralihan tenaga bakal diwujudkan oleh kerajaan bagi mencipta peluang untuk bumiputera di dalam industri tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) kini sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Tenaga.

Kata beliau, usaha tersebut bertujuan untuk mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor-sektor industri dan komersial.

“Dijangkakan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar akan diwujudkan.

“Selain itu, penguatkuasaan Akta ini juga akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar,” katanya ketika berucap pada sesi pembukaan Diskusi Madani, Mencipta Peluang Bumiputera falm peralihan Tenaga di sini, hari ini.

Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu hadir ke Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) iaitu platform untuk mengangkat agenda pen­ting kerajaan merombak dan melonjak pembangunan sosio­ekonomi bumiputera secara menyeluruh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menyatakan bahawa Tenaga Boleh Baharu (TBB) memainkan peranan yang penting dalam usaha peralihan tenaga.

Jelasnya, TBB juga dilihat sebagai sumber tarikan pelaburan yang penting dan membantu dalam pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050, kerajaan telah menetapkan komitmen untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 berbanding 25 peratus pada masa ini.

“Usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan keterlibatan pihak kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut turut berupaya membuka lebih bangak peluang perniagaan dan potensi ekonomi baharu yang boleh dimanfaatkan serta dinikmati lleb semua pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama usahawan bumiputera.

“Kesemua inisiatif ini merupakan pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program TBB, yang sekaligus membolehkan keterlibatan dan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam agenda peralihan tenaga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN