GEORGE TOWN : Polis masih menyiasat dakwaan seorang wanita yang percaya bahawa dia menjadi mangsa intipan selepas terjumpa sebuah kamera tersembunyi di dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, terdahulu, dakwaan tersebut tular selepas ia dimuat naik ke dalam laman Twitter sejak semalam.
“Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 24 tahun yang telah mendaftar masuk ke sebuah inap desa di Jelutong bersama tiga orang rakan pada 5 Februari untuk bercuti.
”Pada 6 Februari iaitu kira-kira pukul 8 malam, mangsa bagaimanapun telah terjumpa sebuah kamera tersembunyi di dalam bekas pewangi di tandas inap desa berkenaan.
”Mangsa kemudiannya melaporkan kepada pengurusan inap desa itu sebelum membuat laporan polis berhubung perkara yang sama,” katanya di sini, hari ini.
Berdasarkan hantaran yang dikongsikan dalam laman Twitter terbabit, wanita tersebut telah mendakwa bahawa percutiannya kini menjadi mimpi ngeri selepas menyedari kejadian itu.
Dalam pada itu, Razlam memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.
”Siasatan sedang dijalankan ketika ini dan pemeriksaan awal mendapati, tiada sebarang imej atau video terkandung dalam storan kamera tersebut.
”Sehubungan itu, polis meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini sehingga boleh menjejaskan siasatan,” ujarnya.-UTUSAN











