ROM: Kerajaan Itali menggantung sementara operasi ratusan kamera perangkap laju di seluruh negara selepas alat berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan baharu yang mula dikuatkuasakan kelmarin.
Selepas berdepan ketidaktentuan undang-undang selama bertahun-tahun, Kementerian Pengangkutan Itali menetapkan syarat ketat tentang kamera tersebut.
Ia menetapkan kamera perangkap laju bukan sahaja wajib mengaburkan wajah pemandu dan penumpang, tetapi mesti mempunyai kadar margin ralat kurang tiga peratus bagi had laju melebihi 100 kilometer sejam (km/j).
Setakat ini, hanya sekitar 3,150 kamera perangkap laju disahkan mematuhi piawaian tersebut dan akan terus beroperasi seperti biasa di jalan raya utama Itali.
Bagaimanapun, pihak pengeluar perlu mengemukakan permohonan baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi mendapatkan pensijilan semula untuk baki 850 unit kamera yang lain, menurut kementerian itu kepada agensi berita AFP semalam.
“Cukuplah dengan kewujudan ‘kamera perangkap kelajuan hantu’ ini, yang tidak lebih daripada sekadar cukai tersembunyi bagi memerah poket jutaan pekerja dan langsung tidak membantu dalam meningkatkan keselamatan jalan raya,” tegas Menteri Pengangkutan, Matteo Salvini menerusi hantaran di platform X.
Sejak 1992, kod lebuh raya Itali telah menetapkan bahawa semua kamera laju wajib diperakui.
Namun, tiada sebarang arahan pelaksanaan rasmi dikeluarkan bagi menyokong undang-undang berkenaan sebelum ini.
Isu tersebut memuncak pada 2024 apabila Mahkamah Agung Itali memutuskan bahawa saman yang dikeluarkan adalah tidak sah jika kamera yang digunakan sekadar mendapat ‘kelulusan’ pentadbiran tanpa diuji dan ‘diperakui’ secara rasmi.
Keputusan itu sekali gus mencetuskan gelombang tuntutan bantahan saman yang luar biasa daripada pengguna jalan raya.
“Langkah (penggantungan) ini sebenarnya sudah terlalu lewat dilaksanakan,” jelas persatuan pengguna, Codacons yang mendedahkan bahawa beberapa pihak berkuasa tempatan sebelum ini terpaksa mematikan peranti berkenaan lebih awal kerana bimbang saman dikeluarkan akan dicabar di mahkamah. – AFP/AGENSI










