KUALA LUMPUR: Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang sepatutnya diadakan esok ditangguhkan susulan pengumuman Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya membuat keputusan untuk menangguhkan kolokium tersebut.
“Serentak itu, satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan pukul 11.00 pagi esok untuk membincangkan perkembangan muktakhir politik semasa tanah air.
“Khususnya bersangkutan dengan pengumuman pengurangan tempoh hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, kolokiuum tersebut dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani dan sepatutnya akan dihadiri oleh 2,000 pimpinan UMNO dari 191 bahagian seluruh negara.
Terdahulu, mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Urusetia Lembaga Pengampunan berkata, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sebanyak RM50 juta. – UTUSAN










