PETALING JAYA: UMNO sepatutnya mencontohi keterbukaan Pas dan PKR dalam berubah dan mengadaptasi dinamika politik baharu tanpa terlalu bergantung kepada pemimpin tertentu supaya dapat menarik lebih banyak sokongan orang muda di masa depan.
Jika gagal berbuat demikian, UMNO boleh ketinggalan berbanding parti lain kerana terlalu taksub kepada pemimpin tertentu sahaja berbanding memperlihat keterbukaan kepada rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, dinamika politik baharu memerlukan sesebuah parti untuk mengadaptasi perkembangan semasa, bukannya meneruskan amalan lalu yang tidak relevan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa hanya segelintir pemimpin UMNO yang mengeluarkan pandangan memperlihat mereka masih bergantung kepada tokoh tertentu.
“Banyak parti politik sudah semakin maju, contohnya Pas, mereka lebih berkonsepkan keterbukaan sehingga mampu meningkatkan sokongan terutama orang muda pada beberapa pilihan raya lepas.
“Begitu juga PKR, walaupun ia sebuah parti serpihan UMNO namun mereka dinamik. Mereka sedar persekitaran, menjadi lebih terbuka dan mendapat sokongan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masa depan UMNO jika terus bergantung kepada pemimpin tertentu seperti bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Isu membabitkan bekas Perdana Menteri itu timbul semula apabila Lembaga Pengampunan memberikan pengurangan 50 peratus hukuman penjara dan denda yang telah dikenakan terhadap Najib, namun perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pemimpin UMNO yang mahukan beliau dibebaskan serta merta.
Justeru, hukuman penjara Najib yang pada asalnya ditetapkan selama 12 tahun berkurang kepada enam tahun manakala denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dikurangkan kepada RM50 juta.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, UMNO tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada Najib sebaliknya perlu menggarap pemimpin pelapis untuk menarik semula sokongan orang muda yang kini sebahagian besarnya bersama Perikatan Nasional (PN).
“UMNO tidak boleh terlalu taksub dengan pemimpin tertentu. Pemimpin datang dan pergi dalam parti, jika UMNO tidak berjaya menarik sokongan orang muda untuk bersama pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti, tak hairan jika mereka hilang lebih banyak kerusi.
“Apabila mereka berterusan bermain sentimen mengenai isu Lembaga Pengampunan ini, UMNO akan dilihat sudah tidak lagi relevan kerana terlalu bergantung kepada tokoh tertentu sahaja,” katanya. – UTUSAN










