UMNO-DAP perlu ada persefahaman sebelum keluar kenyataan

UMNO-DAP perlu ada persefahaman sebelum keluar kenyataan

umno
UMNO-DAP perlu tubuh jawatankuasa khas bersama bagi semak kenyataan sensitif sebelum disebarkan kepada umum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama antara DAP dan UMNO perlu ada persefahaman dan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membolehkan mana-mana pemimpin parti menyemak sebarang kenyataan yang dianggap sensitif sebelum ia disebarkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kedua-dua parti itu perlu mewujudkan satu jawatankuasa bagi melakukan proses semak dan imbang sebelum mana-mana kenyataan dikeluarkan.

“Kerajaan Perpaduan perlu ada satu jawatankuasa khas semak dan imbang untuk berbincang berkenaan sesuatu isu sensitif sebelum ia dikeluarkan kepada rakyat.

“Apabila DAP membuat kenyataan, UMNO beri teguran secara berhemah. Begitu juga sebaliknya. Pokok pangkalnya perlu ada persefahaman antara kedua parti tentang isu sensitif dan berbincang di dalam kamar sebelum keluar kepada orang awam,” katanya.

Terdahulu, Naib Pengerusi DAP Perak, Prof. Dr. Aziz Bari memaklumkan UMNO dan DAP perlu diberi peluang bagi menstabilkan politik serta meningkatkan ekonomi negara yang berkait rapat dengan isu kos sara hidup rakyat.

Tambah Sharkar, sebarang kenyataan yang dikeluarkan tanpa semak dan imbang oleh kedua-dua parti juga boleh menyebabkan gangguan psikologi kepada rakyat.

“Sekiranya kerajaan mengeluarkan kenyataan tanpa semak dan imbang, rakyat akan terganggu dari segi psikologi dan mempersoal tindakan kerajaan. Bila kerajaan hendak mentadbir negara? Selalu berbeza pandangan.

“Pembangkang pula tidak habis-habis dengan membuat isu. Rakyat sudah penat dan perlukan ketenangan,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu cadangan Kampung Baru Cina di Selangor dijadikan Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukan isu sensitif dan cubaan menunjuk belang.

“Bagi saya isu cadangan itu tidak sensitif tetapi kita rasa begitu disebabkan kenyataan tersebut keluar terlalu awal daripada DAP tanpa perbincangan bersama UMNO. Ia sekadar cadangan dan bukannya ‘tunjuk belang’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN