Udang galah ‘mabuk’ akibat dituba?

Udang galah ‘mabuk’ akibat dituba?

JETI Pengkalan Kempas, Linggi, Port Dickson menjadi tumpuan kaki pancing yang mahu menangkap udang galah dari Sungai Linggi. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menggiatkan aktiviti pemantauan dan siasatan selepas terdapat pe­ningkatan kejadian udang galah ‘mabuk’ di Sungai Linggi yang didakwa berpunca daripada aktiviti menuba.

Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan berkenaan dan turun padang ke tiga kawasan di sepanjang Sungai Linggi yang berlakunya kejadian udang galah ‘mabuk’ tersebut.

Kata beliau, tiga kawasan di Linggi itu adalah Kampung Permatang Pasir, Kampung Pengkalan Durian dan Pengkalan Kempas.

“Kami terima aduan terdapat banyak udang dan mati. Ada udang yang ‘mabuk’ di pinggir tebing dan penduduk yang nampak tidak melepaskan pe­luang menyauk hasil sungai yang mempunyai harga tinggi itu.

“Penduduk memberitahu, pada bulan ini sahaja sudah empat kali kejadian udang galah ‘mabuk’ berlaku. Mereka khua­tir berlakunya kejadian menuba atau meracun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bagaimanapun hasil pemerhatian ke atas udang yang diambil penduduk itu kami dapati tidak terdapat kesan se­perti dituba seperti kebiasaan iaitu matanya pecah, keadaan udang masih baik.

Kami akan terus mengadakan operasi pemantauan di kawasan terlibat khususnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Doreen Wee berkata, pihaknya tidak menafikan kaedah menuba sering digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk menangkap ikan dan udang ekoran musim kering yang melanda.

“Ada dua punca berlakunya kejadian udang mabuk iaitu yang pertama akibat faktor meracun serta menuba dan satu lagi kemungkinan hujan terlalu lebat iaitu di kawasan Seremban dan mengalir ke Sungai Linggi menyebabkan ada perubahan keadaan air di Sungai Linggi,” katanya lagi.

Kata beliau, sekiranya terbukti berlaku aktiviti menuba atau meracun ikan atau udang di perairan sungai, ia adalah suatu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Su­ngai) 1976 Negeri Sembilan dan pelaku boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau ke­dua-duanya sekali. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×