KUALA LUMPUR: Tiada unsur jenayah setakat ini dalam kebakaran di tingkat 17 blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, setakat ini masih tidak dapat dipastikan punca kejadian namun maklumat awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dimaklumkan sekiranya terima maklumat daripada pihak bomba
“Keadaan di kawasan kejadian masih terkawal dan kerja-kerja siasatan sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Zam Halim, seramai 50 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras terlibat bagi mengawal keadaan dan membantu siasatan kes tersebut di lokasi kejadian.
“Kita juga akan kenal pasti kawasan pemindahan sementara yang mana di sana juga akan ada kawalan daripada anggota,” ujar beliau.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 9.19 malam tadi.
Kebakaran berlaku di lima unit kediaman di tingkat 17 flat terbabit.
Semua penghuni yang kediaman mereka musnah dalam kebakaran di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini, malam tadi, ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras.
Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Sabah 3B, Zainal Abidin Abd Wahab, berkata seramai 16 penghuni daripada lima keluarga kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jam 2 pagi tadi.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dilakukan pihak persatuan penduduk bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Guru Besar SK Sri Cheras. – UTUSAN










