KUALA LUMPUR: Arash Mohamad, 54, mendedahkan amalan membersihkan wajah sebelum tidur menjadi antara sebab pelakon ini kelihatan muda dari usia sebenarnya.
Kata Arash perkara itu menjadi disiplin harian yang tidak pernah ditinggalkan meskipun dia terlalu letih selepas pulang bekerja.
“Pelakon memang tak boleh lari daripada disolek kerana itu sebahagian daripada perkara yang diperlukan dalam kerja kami.
“Jadi mahu atau tidak, saya kena berdisiplin membersihkan muka sebelum tidur agar kulit dapat direhatkan dengan baik.
“Jujur cakap, saya tak buat apa-apa rawatan, apatah lagi pembedahan atau prosesur kosmetik untuk nampak muda. Cuma selalu bersihkan muka, itu sahaja,” katanya ketika mempromosikan drama Layang Layang Perkahwinan baru-baru ini.
Arash menerusi drama tersebut membawakan watak sebagai Hasibullah.
Turut menjayakan drama tersebut adalah Shukri Yahaya, Keith Foo, Ezzanie Jasny, Nina Juren dan ramai lagi.
Dalam pada itu, Arash menyambut baik kemunculan ramai pelakon baharu yang memeriahkan industri seni tanah air.
Katanya kehadiran mereka penting bagi menentukan kelangsungan dunia drama dan perfileman di masa akan datang.
“Tak timbul soal pelakon lama dengki atau tak senang duduk tengok kemunculan pelakon baharu. Saya gembira dengan kehadiran mereka.
“Lagipun pelakon-pelakon sekarang, kebanyakannya yang pernah bekerja dengan saya semuanya berdisiplin dan menghormati pelakon senior.
“Jadi saya harap industri seni kita terus dimeriahkan dengan lebih ramai pelakon baru yang akan menentukan hala tuju dunia hiburan tanah air di masa akan datang,” jelasnya.










