PETALING JAYA: Kerajaan disaran menetapkan harga siling tiket penerbangan kelas ekonomi ketika musim perayaan bagi meringankan beban pengguna pulang ke kampung untuk penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, harga pelarasan tiket penerbangan sehala yang ditetapkan kerajaan ketika ini masih mahal dan membebankan.
Katanya, kerajaan perlu menetapkan harga siling bagi harga tiket penerbangan kerana ramai penjawat awam yang berkhidmat di luar kawasan tidak dapat pulang beraya di kampung masing-masing disebabkan harga yang tidak masuk akal.
“Harga RM599 itu masih membebankan penjawat awam yang bekerja di Sabah dan Sarawak malah memberi tekanan kepada golongan pelajar yang menuntut di sana untuk pulang ke kampung. Harga ini juga belum termasuk cukai dan lain-lain.
“Kerajaan perlu membuat harga siling bagi tiket penerbangan tersebut kerana dikhuatiri harga bagi dua hala penerbangan boleh mencecah RM1,500,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tempoh tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sempena Hari Raya Aidilfitri, terdapat syarikat yang akan menambah penerbangan tambahan selain menawarkan harga tetap untuk penerbangan tertentu pada waktu malam.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff turut senada apabila menyatakan harga siling tidak akan menjejaskan sektor penerbangan apabila sebelum ini terdapat harga jualan tiket penerbangan dijual murah mengikut permintaan semasa.
“Sebelum ini apabila permintaan kurang, syarikat boleh menjual pada harga yang murah tetapi apabila permintaan tinggi kenapa perlu menjual harga mahal?
“Kerajaan juga perlu memikirkan harga tiket yang sesuai bagi pelajar Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pelajarannya di Semenanjung.
“Sekiranya tidak diberikan subsidi atau membuat harga siling bagi tiket penerbangan, harganya mencecah ribuan ringgit sehingga membebankan pengguna yang juga menanggung kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam di Lembah Klang, Masni Baharuddin, 22, berkata, harga RM599 bagi tiket penerbangan sehala ini masih mahal sehingga membebankan pelajar dan pengguna lain.
“Saya percaya harga ini akan meningkat kerana ia belum ditambah dengan cukai serta kos bagasi. Harga boleh menjadi lebih tinggi kerana permintaannya meningkat ketika perayaan,” katanya. – UTUSAN










