PADANG BESAR: Cuaca panas melampau sehingga mencecah 39 darjah Celsius dengan tiada hujan sudah lebih sebulan lalu menyebabkan terdapat kawasan sawah di negeri ini mula merekah dan kering kontang.
Antaranya di kawasan sawah padi di Kok Klang, Chuping di sini yang merupakan antara lokasi titik panas di negeri ini menyaksikan terdapat sawah yang merekah sehingga menyaksikan ada pesawah terpaksa mengerat sendiri padi selepas mesin padi tidak boleh masuk akibat tanah yang sudah kering kontang itu.
Sebagai rekod, pada 9 April 1998, Chuping telah merekodkan suhu tertinggi dan terpanas di Malaysia iaitu 40.1 darjah Celsius.
Seorang pesawah, Sapiah Lee Nui, 52, berkata, dia terpaksa menuai dan menampi sendiri padi selepas jentera menuai padi tidak boleh masuk di kawasan sawah padinya ketika musim menuai sudah tiba ketika ini.
Katanya, sudah dua hari dia bersama anaknya melakukan kerja-kerja menuai padi ini dalam keadaan sawah yang kering kontang ini.
“Kita juga mengasingkan padi untuk dibuat benih. Pada masa ini, tanah kering kontang khususnya di kawasan sebelah Kok Klang berhampiran Chuping ini.
“Bagaimanapun, masih terdapat di kawasan lain yang mesin padi masih boleh lepas masuk. Di kawasan saya ini, sudah tidak boleh memandangkan tanah sudah merekah,” katanya.
Tambah Sapiah, cuaca ketika ini cukup panas sehingga menyebabkan dia memerlukan bekalan air masak yang banyak apabila melakukan kerja di sawah.
Katanya, kebiasaan pada musim panas, selain masalah tanah merekah, ia juga boleh memberi kesan kepada tanaman dan hasil padi sekiranya pengairan tidak sempurna.
“Saya juga sentiasa berjaga-jaga dalam keadaan cuaca panas ini dengan akan berehat berulang kali sebelum meneruskan kerja-kerja di sawah padi,” katanya.
Tambah Sapiah, cuaca panas berkenaan dijangka berlarutan sehingga April dan jika keadaan berterusan akan menyukarkan apabila tiba proses penanaman padi nanti.
“Di Perlis sememangnya menjadi kelaziman cuaca panas namun kali ini sangat luar biasa sehingga membawa ke waktu petang. Dalam keadaan cuaca sekarang, air masak sangat diperlukan apabila melakukan kerja-kerja berat seperti ini,” katanya. – UTUSAN










