Tabung Wakaf Alumni Unimap sasar kumpul dana RM1 juta dalam lima tahun - Utusan Malaysia

Tabung Wakaf Alumni Unimap sasar kumpul dana RM1 juta dalam lima tahun

ZALIMAN Sauli (empat dari kiri) merakamkan gambar bersama selepas Majlis Pelancaran Tabung Wakaf Alumni Unimap di Dewan Kecemerlangan Unimap, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mensasarkan mengumpul dana wakaf berjumlah RM1 juta untuk tempoh lima tahun akan datang menerusi pelancaran Tabung Wakaf Alumni, semalam.

Untuk tahun ini, sejumlah RM200,000 disasarkan dapat disalurkan ke tabung berkenaan dalam membantu alumni dan pelajar institusi terbabit.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, pelancaran tabung itu dapat membuka peluang dan galakan buat alumni institusi pengajian itu untuk melibatkan diri dalam aktiviti berteraskan kebajikan atau amal jariah.

“Tabung wakaf tunai ini akan dapat membantu alumni dan pelajar dalam aspek kebajikan, pembangunan modal insan serta aktiviti-aktiviti komuniti universiti,” katanya selepas melancarkan tabung berkenaan bersempena Amanat Naib Canselor 2024 berlangsung di Dewan Kecemerlangan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Zaliman berkata, Unimap menerusi Pusat Perhubungan Alumni mengambil insiatif bagi melancarkan tabung itu sebagai usaha dalam mendokong agenda kemenjadian mahasiswa.

Katanya, instrumen wakaf dan institusi pendidikan merupakan pemangkin kepada kemajuan sesebuah universiti yang sememangnya perlu meraih dana bagi memastikan kemampanan kewangan mereka dalam situasi ekonomi tidak menentu masa kini.

“Tabung Wakaf Alumni Unimap itu bertujuan menjadi salah satu platform utama penggerak dalam amalan sedekah jariah dan pengimarahan ilmu melalui sumbangan dana wakaf tunai alumni di samping mendokong agenda kemenjadian mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Unimap, Dr Khairul Anwar Abdul Halim berkata, pelancaran tabung itu diharap dapat memperkasakan dana wakaf universiti itu tambahan pula kemudahan teknologi pada masa kini turut memudahkan penyaluran sumbangan berkenaan.

Katanya, pihak alumni turut berbangga di atas sumbangan Zaliman sebanyak RM5,000 yang disampaikan buat tabung tersebut.

“Sehubungan itu, adalah menjadi suatu panggilan buat seluruh alumni Unimap, keluarga kakitangan, mahasiswa dan orang perseorangan untuk turut sama menyumbang ke tabung ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN