KUALA NERUS: Keunikan senibinanya yang menggunakan buluh menjadikan Surau Buluh di Kampung Banggol Tiang Kulat dekat sini, bukan sekadar tempat beribadat malah tarikan baharu pelancongan.
Apatah lagi pembinaan seumpama itu yang pertama di Terengganu untuk projek kajian dan pembangunan (R&D) mempromosi buluh sebagai bahan binaan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Pengarah Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Abdul Rafa Tan berkata, surau itu mula dibina pada 2021 merangkumi beberapa komponen dan boleh memuatkan sehingga 200 jemaah pada satu masa.
Menurut beliau, surau berkenaan juga projek pertama di Asia menggunakan spesies buluh yang hanya boleh didapati di Terengganu iaitu buluh betong, semantan, brang dan mata rusa.
“Hampir 80 peratus struktur binaan diperbuat daripada buluh spesies tersebut manakala 20 peratus lagi konkrit pada bahagian tapak dan tembok asas pemegang tiang utama bangunan.
“Surau Buluh yang berkeluasan 2,500 kaki persegi ini juga memiliki kemudahan lain seperti bilik pejabat, stor simpanan, tandas dan ruangan wudhu untuk kegunaan jemaah atau pengunjung.
“Pembinaannya berkonsepkan organik iaitu kubah terbuka tetapi boleh ditutup melalui dinding mudah buka dan antara objektifnya pula untuk membangunkan Manual Aplikasi Buluh dalam industri pembinaan.
“Kerana sifatnya yang semulajadi, penjagaan berkala sangat penting bagi menambah jangka hayatnya,” jelas beliau dalam majlis penyerahan Surau Buluh oleh MTIB kepada Pejabat Daerah Kuala Nerus, baru-baru ini.
Selain itu, penggunaan buluh pada struktur utama surau tersebut juga memberikan reka bentuk yang unik dan memaparkan keindahan warisan senibina tradisional masyarakat Melayu.
Sementara itu, Pensyarah Senibina Dalaman Fakulti Senibina dan Ekistik, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Siti Nuratirah Che Mohd. Nasir, berkata, keunikan itu dapat memberi pengalaman beribadah yang lebih menarik.
Menurutnya, penggunaan buluh menerusi kehangatan warnanya dan tekstur menambah keanggunan dalaman selain menonjolkan keunikan estetika yang jarang ditemui dalam rekabentuk moden.
“Paling penting buluh dapat menyerap dan mengekalkan haba pada suhu yang selesa dalam ruang dalaman sekaligus pilihan terbaik untuk digunakan dalam iklim panas seperti di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










