JERANTUT: “Sudah-sudahlah… hentikan keluar balak”. Demikian kekecewaan penduduk di Lembah Tembeling di sini setiap kali melihat banyak lori balak yang sarat muatan melalui jalan raya berdekatan perkampungan pesisir Sungai Tembeling bermula dari Ulu Tembeling-Tembeling Tengah ke bandar Jerantut.
Difahamkan, kegiatan tersebut bukan baharu sebaliknya didakwa sudah lebih 20 tahun berlaku atas alasan ‘pembangunan akan menjalar lebih cepat ke kawasan di situ’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Ulu Tembeling yang mahu dikenali sebagai Din berkata, alasan pembangunan hanya omong kosong semata-mata apabila hanya ada jalan raya termasuk kemudahan awam seperti sekolah dan klinik di situ.
“Jalan raya yang dibina ke Ulu Tembeling boleh dilalui kenderaan kira-kira 13 tahun lalu kerap berlaku kerosakan dan sehingga kini masih dalam usaha baik pulih.
“Memang tidak dinafikan, kerosakan jalan raya yang amat ketara antara Kampung Tuit, Kuala Tahan sehingga ke Kampung Kuala Sat akibat laluan kenderaan berat membawa balak termasuk wujudnya mendapan tanah dan hakisan kawasan tebing ketika musim hujan,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Ahmad Omar bersetuju bahawa penebangan hutan juga menyaksikan haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir kehilangan habitat untuk mencari makanan.
“Buktinya, gajah liar dan harimau kerap keluar berkeliaran di jalan raya dan menceroboh ke kawasan penempatan dan tanaman untuk memperoleh makanan,” katanya.
Dia berpandangan, pihak berwajib perlu belajar menerusi bencana banjir yang berlaku setiap tahun, iaitu kesan penebangan hutan di kawasan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu dan perlu menghentikan pengeluaran kayu balak untuk memastikan alam sekitar terus mampan dan mengekalkan ekosistem.
Katanya, sewajarnya keaslian alam sekitar perlu dikekalkan kerana kawasan Ulu Tembeling termasuk Kuala Tahan merupakan tumpuan pelancong luar dan pelawat domestik setiap hari untuk melawat di lima buah perkampungan Melayu tradisional.
Penduduk Kuala Tahan, Zamri Mat Ami berkata, lori sarat muatan kayu balak juga mengundang kebimbangan dan ancaman keselamatan penduduk yang berulang alik dari Ulu Tembeling ke bandar Jerantut.
“Kebimbangan kami ketika lori berkenaan melalui laluan mendaki berbukit, berselisih di jalan selekoh dan sempit yang boleh mengancam keselamatan sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Menurut Zamri, dia pernah melihat kejadian lori balak terbalik di laluan berselekoh antara Kuala Tahan ke Jerantut menyebabkan penduduk semakin bertambah bimbang risiko keselamatan masing-masing.
Katanya, senario pemandangan lori balak keluar masuk sudah tentu memberikan gambaran negatif dalam kalangan orang luar khususnya pelancong dari seluruh dunia termasuk pencinta alam sekitar yang kerap berkunjung ke kawasan tersebut. – UTUSAN










