KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 20 Mac ini bagi mengetahui status representasi yang difailkan oleh Inspektor Sheila untuk membatalkan pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam M. Manoharan yang mewakili Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, selepas prosiding kes di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Menurut peguam itu, representasi itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas alasan pertuduhan tersebut remeh.
“Hari ini mahkamah menetapkan sebutan kes seterusnya pada 20 Mac untuk mengetahui keputusan representasi.
“Pihak pendakwaan memaklumkan perlu masa tiga minggu untuk mengkaji representasi yang difailkan kali pertama setebal kira-kira 20 muka surat.
“Selain alasan remeh, representasi itu kerana anak guam sebenarnya adalah mangsa dalam kes yang tular itu,” katanya.
Pada 8 November 2023, Inspektor Sheila selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 29 tahun (ketika kejadian).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1, sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pukul 5.26 petang pada 16 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










