PONTIAN: Kira-kira 3,000 jemaah hadir mengerjakan solat subuh di Masjid Bandar Pontian, di sini, pagi tadi.
Mereka mula membanjiri pekarangan Masjid Jamek Bandar Pontian seawal pukul 4 pagi bagi mengambil 1,000 helai kemeja-t yang disediakan oleh pihak penganjur Komuniti Jalan Mohd. Salleh (JMS).
Urusetia penganjur, Mohd. Zainal Zulkifli, 41, berkata, pihaknya teruja dengan sambutan Solat Subuh Macam Jumaat versi Pontian yang mendapat sambutan baik dari pelbagai golongan lapisan umur seluruh daerah ini.
Katanya, pemberian kemeja-t percuma yang ditaja oleh sebuah syarikat percetakan tempatan selesai dalam tempoh setengah jam kepada jemaah yang datang seawal pukul 4.00 pagi itu.
Manakala, tambahnya, sarapan pagi disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk Pejabat Ahli Parlimen Pontian, Kopi Tenggek Tanjung Piai, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain orang perseorangan.
Solat subuh telah diimamkan oleh Imam 1 Masjid Bandar Pontian, Al Hafiz Yunos, manakala tazkirah ringkas disampaikan oleh Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Dr. Mohd. Rilizam Rosli.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Ab. Razak Khalid.
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, kehadiran ramai jemaah solat subuh di Masjid Bandar Pontian satu perkembangan yang amat baik susulan penganjuran program Semarak Subuh Johor (SSJ).
Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang membuat hebahan secara meluas melalui media sosial sehingga berjaya menarik ramai anak muda bagi menyertai program pada hari ini.
Menurut beliau, program seperti itu diharap dapat menyuntik semangat dan membangkitkan minat anak-anak muda Islam untuk sama-sama hadir menunaikan solat subuh setiap hari. – UTUSAN










