Solat hajat atas jambatan, elak kejadian terjun sungai

Solat hajat atas jambatan, elak kejadian terjun sungai

MOHD. Nassuruddin Daud (tiga kiri) bersama lebih 500 jemaah mengaminkan doa selepas solat hajat di Jambatan Tendong, Pasir Mas, Kelantan, semalam-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan solat hajat di atas Jambatan Tendong, di sini, semalam sebagai salah satu usaha untuk mengelakkan kejadian terjun ke Sungai Kelantan dari jambatan itu berulang.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, solat hajat dan berdoa sebagai langkah pertama sebelum mengambil tindakan seterusnya selepas ini.

Katanya, solat hajat boleh dilakukan di mana-mana sahaja namun Jambatan Tendong dipilih memandangkan lokasi itu kerap berlaku kejadian terjun jambatan sejak kebelakangan ini.

“Orang terjun atas jambatan, bukan atas masjid. Kalau orang terjun atas masjid, kita buat solat hajat atas masjid.

“Di sini tempat orang terjun, kita buat di sini. Pada hakikatnya, solat hajat boleh dibuat di mana-mana,” katanya selepas majlis itu semalam.

Terdahulu, lebih 500 jemaah menghadiri solat hajat yang diimamkan oleh Timbalan Pengerusi Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang.

Mohd. Nassuruddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkaitan cadangan pemasangan jaring bagi mengelak kejadian terjun jambatan berlaku pada masa akan datang.

“Segala keputusan akan dilakukan selepas itu. Mungkin kita akan pertimbang cadangan dari JBPM untuk pasang jaring apabila mengadakan perbincangan semula. Apa yang penting, kita mulakan usaha dengan solat hajat dan berdoa dahulu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JBPM Kelantan mencadangkan pembinaan penghadang dalam usaha membendung kes terjatuh dari jambatan-jambatan di negeri ini.

Cadangan itu disuarakan susulan 17 kes jatuh jambatan di Kelantan direkodkan bermula 15 November 2021 hingga Januari tahun ini dan kesemua yang terlibat dalam kes itu kemudian dijumpai lemas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN