Serah dokumen kepada Jho Low di rumah Najib

Serah dokumen kepada Jho Low di rumah Najib

JASMINE Loo Ai Swan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu bahawa beliau sering menyerahkan sendiri dokumen-dokumen berkaitan pelaburan syarikat itu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low di beberapa lokasi termasuk di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sekiranya bukan kepada Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho, beliau akan menyerahkan fail plastik berisi dokumen yang perlu ditandatangani oleh Najib kepada mana-mana individu yang diarahkan oleh lelaki berkenaan.

“Dalam tahun 2012 dan 2013, dokumen yang saya sediakan iaitu SRRP (pemegang saham utama 1MDB) & MR (minit wakil syarikat induk) akan dicetak dan dimasukkan ke dalam sebuah folder plastik dan saya akan memberikannya kepada Jho Low secara serahan tangan sendiri di mana-mana yang diarahkan oleh Jho Low termasuk di pintu kediaman Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

“Sekiranya tidak, saya akan memberi plastik folder tersebut kepada mana-mana individu yang diarahkan oleh Jho Low dan individu itu akan menyerahkannya kepada Jho Low untuk memperoleh tandatangan Datuk Seri Najib Razak. Selepas sahaja Jho Low memperolehi tandatangan Datuk Seri Najib Razak, Jho Low akan menyerahkan SSRP & MR kepada saya sendiri atau kepada mana-mana individu untuk diberikan kepada saya.

“Sekiranya ia tidak serahkan kepada saya, Jho Low akan menghantar pesanan kepada saya melalui BBM untuk memastikan dokumen ini diserahkan kepada pejabat 1MDB untuk tindakan selanjutnya,” ujar wanita itu ketika membaca penyataan saksinya.

Menjawab soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan, beliau tidak pernah masuk ke dalam rumah Najib namun setiap kali dokumen dihantar kepada Jho Low, ia akan dikembalikan kepadanya dalam keadaan telah ditandatangani oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Ada satu kali dia (Jho Low) sudah ada depan gate (pagar) dan sekali dia suruh saya menunggu di luar. Saya tidak masuk rumah, hanya tunggu Jho Low di pintu kediaman,” kata Jasmine.

Pada September 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan pada perbicaraan tersebut menyatakan, Jho Low dilihat rapat dengan Najib, mengetahui selok belok rumah bekas Presiden UMNO itu malah dilihat bersahaja meminta milo ais daripada pembantu rumah Najib.

Selain itu, Jasmine menyatakan beliau sering melihat Jho Low bersama-sama Najib atau berada berdekatan di program sama berkaitan 1MDB.

“Saya juga pernah melihat Jho Low menyimpan dan memiliki letterhead kosong Pejabat Perdana Menteri yang berkertas kuning dalam satu sampul untuk kegunaan Jho Low sekiranya perlu.

“Sebagai contoh, saya ada nampak surat pejabat Perdana Menteri berkenaan dengan pelantikan Hazem Rahman (bekas CEO 1MDB, Mohd, Hazem Abdul Rahman) yang Jho Low sediakan di rumahnya di Kia Peng, Kuala Lumpur dan menurutnya, dia akan membawanya ke Datuk Seri Najib Razak untuk ditandatangani. Kemudian, surat yang sama telah ditandatangani dihantar ke Pejabat 1MDB dan lanjutan daripada itu, Hazem Rahman pun dilantik,” katanya.

Jasmine berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 ­bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN