KOTA KINABALU: Negara berdepan kerugian kira-kira RM4.5 juta sehari akibat penyeludupan keluar produk petroleum seperti diesel dan RON95.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara itu didedahkan dalam laporan yang diterbitkan Majlis Perniagaan EU-Asean mengenai isu penyeludupan terbesar dihadapi di Malaysia iaitu produk petroleum.
“Berdasarkan kajian yang dikeluarkan EU-Asean, mereka melaporkan sebanyak tiga juta liter petroleum diseludup keluar dari Malaysia setiap hari.
“Namun, laporan itu tidak menyebut jumlah kerugian yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan bengkel penyelarasan tanggungjawab membanteras ketirisan barang kawalan bersama agensi penguatkuasaan negeri Sabah, di sini semalam.
Jumlah tiga juta liter petroleum itu dianggarkan bernilai RM4.5 juta.
Menurut beliau, bagi mengatasi masalah ketirisan dan penyeludupan, kementerian itu melaksanakan Op Tiris bagi membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang menyebabkan kerugian kepada negara.
Katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup minyak bersubsidi itu menyebabkan bahan api tersebut tidak sampai kepada mereka yang layak menerimanya.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Op Tiris 1.0 dan 2.0 yang mula dilaksanakan pada 2023, sebanyak 6.4 juta liter minyak diesel dirampas dengan nilai sejumlah RM14.2 juta.
“Bagi tempoh sama, sejumlah 877 kes direkodkan termasuk 386 kes serahan agensi dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM42.1 juta.
“Sepanjang pelaksanaan Op Tiris 1.0 dan 2.0, sebanyak 32 kes direkodkan di Sabah bagi tempoh yang sama dengan rampasan bernilai RM1.05 juta. Seramai 668 orang ditahan termasuk 554 orang warga tempatan, 112 orang warga asing dan dua penduduk tetap,” katanya.
Menurut beliau, berikutan kejayaan positif yang ditunjukkan dalam pelaksanaan Op Tiris 1.0 dan 2.0 pada 2023, pelaksanaan penguatkuasaan diteruskan melalui Op Tiris 3.0 pada tahun ini.
Armizan berkata, sepanjang penguatkuasaan Op Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 15 Februari, sejumlah 3,257 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dan menghasilkan sebanyak 330 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM5.15 juta.
Ia membabitkan rampasan minyak diesel sebanyak RM4.76 juta, petrol RON95 sebanyak RM90,611, gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM154,189, minyak masak sebanyak RM107,759 dan gula sebanyak RM35,737.
Seramai 65 individu juga telah ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Bagi tempoh sama, sebanyak 29 kes direkodkan di Sabah dengan jumlah rampasan barang kawalan bernilai RM192,845. – UTUSAN










