KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani fenomena El Nino yang diramal lebih teruk melanda negara pada Julai tahun depan dan 2026.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, penubuhan pasukan menerusi Jawatankuasa Bertindak Kemarau itu dipersetujui pihaknya pada Jumaat lalu.
Menurutnya, jawatankuasa itu diketuai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan dibantu agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
“Pasukan khas itu dibentuk bagi melihat pengurusan bekalan air di Selangor terutama ketika berdepan kemarau lebih teruk dijangka pada tahun depan dan 2026 nanti.
“Perkara itu amat penting kerana bekalan bukan saja untuk diminum namun bagi keperluan pertanian dan faktor lain,” katanya, semalam. Tambahnya, jawatankuasa itu turut berfungsi melaporkan sebarang perkembangan situasi bekalan air kepada Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor.
“Ini termasuk isu banjir, kemarau, kumbahan dan semua yang berkaitan dengan bekalan air. Kita mahu memastikan ia dapat menampung bekalan air bagi mengelak berlakunya catuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Izham memaklumkan pemerhatian pihaknya mendapati paras air di tujuh empangan dan 600 kolam takungan masih terkawal.
“Paras air itu berada pada tahap 85 peratus dan tidak terjejas biarpun cuaca panas melanda ketika ini. Kita memberi jaminan bekalan air di Selangor masih mencukupi berdasarkan pelaksanaan empat projek SJAM yang dijangka siap sepenuhnya tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN










