PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 disifatkan sebagai sejarah hitam buat undang-undang syariah Islam di negara ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, susulan keputusan itu, ia sekali gus meletakkan undang-undang jenayah syariah Islam di 14 negeri lain dalam amat-amat bahaya dan kritikal.
“Kita amat sedih pada hari ni. Ini adalah ‘Black Friday’ iaitu Jumaat yang hitam kepada syariah Islam.Itu yang kita boleh gambarkan.
“Apabila satu undang-undang jenayah syariah sesuatu negeri dibatalkan maka, undang-undang ini di 14 negeri lain dalam keadaan yang amat-amat bahaya dan kritikal,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Sambil memberi contoh, Takiyuddin berkata, jika mana-mana individu di Negeri Sembilan atau Melaka yang dituduh kesalahan meliwat, mereka boleh bawa kes itu Mahkamah Persekutuan dan memaklumkan kesalahan sama di Kelantan telah dibatalkan.
“Jadi tidak ada orang boleh dituduh di mahkamah syariah atas kesalahan syariah itu. Kerana itu kami emosi hari ini dan ia bukan perkara kecil malah, mempertahankan syariah bermakna mempertahankan institusi raja-raja Melayu,” katanya.
Ditanya apa langkah seterusnya, Takiyuddin berkata, ia akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kerana undang-undang yang terbatal itu diperingkat negeri Kelantan.
Menurutnya, beliau difahamkan sudah ada satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membincangkan kesan langsung daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
“Sudah tentulah, undang undang syariah perlu ada di negeri, namun apabila dibatalkan maka tindakan sewajarnya perlu diambil.
“Saya difahamkan, keputusan hari ini akan disembah maklum kepada Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Jadi, kita juga akan bertanya di Parlimen (Sidang Dewan Rakyat) nanti apa hasil daripada sembah maklum MKI itu mengenai kedudukan undang-undang syariah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Selamat Syariah, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya akan menggerakan usaha untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI.
“Kami tidak akan berputus asa dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Kami juga berharap umat Islam di seluruh negara berdoa supaya Islam terus dilindungi kerana perkara ini melangkaui parti politik,” katanya.
Terdahulu, lebih 1,000 hadir pada program Himpunan Selamatkan Syariah yang berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) pagi tadi dimulakan dengan solat hajat sebelum diikuti acara bermunajat oleh peserta yang hadir.
Turut serta bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob; Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman selain Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman. – UTUSAN










