Rafah pun sudah tidak selamat

Rafah pun sudah tidak selamat

Kanak-kanak menunggu agihan makanan di kawasan sekolah di Rafah, Palestin semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada lagi tempat selamat bagi warga Palestin selepas Israel bertindak menghancurkan keseluruhan Gaza menjelang umat Islam menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, kedegilan Israel yang meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin menjadikan tiada tempat selamat untuk mereka di Gaza.

“Tiada lagi tempat yang selamat di Gaza selagi Israel tidak menghentikan serangannya.

“Rafah yang diklasifikasikan sebagai selamat pun sudah tidak selamat untuk penduduk Gaza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague mengadakan pendengaran awam mengenai akibat undang-undang yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Sesi itu yang berterusan selama enam hari dari 19 hingga 26 Februari adalah berdasarkan permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperoleh nasihat daripada mahkamah mengenai kesan pendudukan Israel yang berterusan selama lebih 57 tahun.

Selain itu, kata Jismi, adalah menjadi harapan negara-negara antarabangsa khususnya negara Islam agar gencatan senjata berlaku sebelum tibanya Ramadan.

Namun jelasnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu seolah-olah tidak menghiraukan pandangan dari orang lain, malah sebahagian dari Menteri Israel juga mahukan operasi ketenteraan diteruskan sehingga Ramadan.

Mengulas mengenai bantuan Ops Ihsan, beliau berkata, sejumlah 100,000 kotak sudah mula dihantar bagi membantu mangsa kekejaman rejim Israel.

“Kita sudah mulakan penghantaran 100,000 ribu kotak makanan dan akan berterusan sehingga Ramadan.

“Selain itu, kita juga akan mula hantar 40 buah kontenan bantuan makanan dan perubatan dari Malaysia ke Gaza mulai Mac ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×