Pulau Pinang sedia bantu kelancaran projek pembesaran LTAPP - Kon Yeow

Pulau Pinang sedia bantu kelancaran projek pembesaran LTAPP – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kiri) menyerahkan angpau kepada seorang kanak-kanak ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan di Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kerajaan negeri menyambut baik dan sedia membantu usaha Kerajaan Persekutuan yang mahu mempercepatkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) susulan peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut perancangan, projek naik taraf itu dijangka dilaksanakan secara berfasa oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

“Pelaksanaan projek ini tidak membabitkan sebarang proses pengambilalihan tanah kecuali kawasan penempatan kuarters kakitangan MAHB yang sudah diselesaikan.

“Ketika ini, lebih 50 unit rumah mampu milik di Teluk Kumbar juga sudah ditawarkan sebagai lokasi penempatan semula untuk kakitangan (MAHB) yang terlibat.

“Peranan kerajaan negeri dalam projek ini sebenarnya terhad, namun, kami berharap ia perlu disegerakan memandangkan sektor pelancongan sudah kembali pulih dan kita juga telah berjaya menguruskan pertambahan penerbangan ke Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, projek pembesaran LTAPP itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan dan usaha untuk menambah penerbangan mungkin akan terhalang susulan kemudahan yang tidak mencukupi di lapangan terbang terbabit.

“Justeru, diharapkan agensi terlibat khususnya Jabatan Imigresen dapat melihat tindakan jangka pendek bagi memudahkan aliran trafik dalam terminal.

“Ini penting bagi memastikan pelancong dan pengunjung yang tiba di LTAPP tidak terjejas ekoran kesesakan yang berlaku semasa projek sedang berjalan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membesarkan LTAPP seperti yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, Pulau Pinang popular sebagai lokasi tarikan pelancongan yang sangat berjaya namun berdepan dengan masalah kesesakan di lapangan terbang.

Justeru, beliau berharap akan mendapatkan laporan berhubung projek berkenaan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang akan berlangsung Rabu depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN