Prasarana teruskan perkhidmatan van percuma sidang Parlimen  

Prasarana teruskan perkhidmatan van percuma sidang Parlimen  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meneruskan perkhidmatan van perantara percuma cetusan idea Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, antara stesen Kuala Lumpur Sentral ke Parlimen sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-15 pada 26 Februari hingga 27 Mac ini. 

Perkhidmatan van pengantara itu disediakan untuk ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai, petugas media dan kakitangan Parlimen yang bertugas sepanjang mesyuarat Parlimen tidak lama lagi.

Rapid KL dalam hantaran di Facebook hari ini menggalakkan para pengguna menggunakan perkhidmatan van bernombor T851 mengikut tarikh yang ditetapkan. 

Ia mula dilancar pada 20 Februari tahun lalu oleh Siew Fook yang diyakini membantu mempromosi penggunaan pengangkutan awam.

Van pengantara itu akan berhenti di tiga stesen bermula dari KL Sentral, Taman Botani dan Parlimen sebagai destinasi terakhir. 

Van tersebut akan beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 8 malam setiap Isnin hingga Jumaat. 

Siew Fook dilaporkan berkata, perkhidmatan van pengantara itu lebih bertujuan memberi mesej kepada awam bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. 

Ini kerana, terdapat segelintir pihak mendakwa ahli-ahli Parlimen sudah menerima elaun pengangkutan sekali gus tidak mewajarkan mereka menggunakan bas pengantara berkenaan. 

“Saya tahu ada komen-komen mengatakan ahli Parlimen sudah ada elaun mahu beri percuma lagi. Tetapi, ia lebih kepada memberi signal dan mesej kepada semua pihak untuk kita galakkan penggunaan pengangkutan awam. 

“Apabila ramai guna pengangkutan awam, apabila ahli Parlimen sendiri menggunakannya, maka lebih ramai yang akan bercakap mengenai pengangkutan awam, menyatakan pandangan, kritikan, perbahasan dan pengalaman di Dewan Rakyat supaya pengangkutan awam negara bertambah baik,” katanya semasa pelancaran itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN