GEORGE TOWN : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki warga tempatan dalam satu serbuan di Teluk Kumbar, di sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam itu, sebanyak 20 ketulan mampat dadah disyaki ganja seberat hampir 20 kilogram (kg) bernilai RM62,000 yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Honda City berjaya dirampas.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 23 dan 34 tahun sebelum itu disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah selepas satu operasi terancang untuk mengesan sindiket tersebut dilancarkan di sekitar Teluk Kumbar.
”Kedua-dua lelaki ini dipercayai penganggur dan mereka ditahan ketika berada di dalam kereta tersebut (Honda City) bersama dadah yang disimpan dalam kenderaan berkenaan.
”Hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak penghujung tahun lepas dan ia menyasarkan pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, dadah tersebut disyaki diseludup dari negara jiran namun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini.
”Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah,” katanya yang memberitahu, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 40,000 orang atau 40,000 kali penggunaan.
Tambah Mohamed Usuf, kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari bermula 10 Februari lalu untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Sebagai contoh katanya, jumlah tangkapan bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 7.06 peratus iaitu sebanyak 14,001 orang berbanding tangkapan sebanyak 13,078 orang pada tahun 2022.
Selain itu, Mohamed Usuf berkata, sebanyak 27 kes sindiket dadah berskala besar juga telah dilumpuhkan sepanjang tahun lepas dengan melibatkan 79 tangkapan termasuk 12 warga asing yang melibatkan nilai keseluruhan rampasan dadah sebanyak RM30.78 juta.-UTUSAN










