PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau sebarang kenyataan yang dikeluarkan termasuk di media sosial oleh mana-mana individu yang didapati menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) terutama berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan itu melibatkan semua perkara dan elemen yang boleh menyumbang kepada ketidaktenteraman awam.
“Pemantauan polis terhadap reaksi awam ini adalah berterusan kita lakukan (dan) saya sendiri mendapat jaminan dari Ketua Polis Negara.
“Kalau kita kesan ada reaksi berlebihan yang kemudiannya ada aduan, itu memang sudah ada pasukan siasatan khas di Bukit Aman yang akan bertindak segera,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung timbulnya pelbagai polemik termasuk yang terbaharu parodi mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan, satu sesi libat urus akan diadakan pada petang ini antaranya untuk mengatasi kesan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa keseluruhan Seksyen 4 Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 adalah tidak berperlembagaan.
Menurut beliau, sesi libat urus tersebut melibatkan pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta aktivis.
“Kita harap hasil libat urus itu nanti akan dapat memberikan kita sedikit sebanyak input bagaimana langkah seterusnya yang akan kita lakukan. Buat masa sekarang kita masih lagi memantau kesemua perkara, ketidakbolehan kita untuk melaksanakan atau mengguna pakai seksyen tersebut ekoran keputusan mahkamah.
“Dan adakah ia memberikan ‘disadvantages’ kepada polis dan sebagainya, data-data itu akan dibentangkan, daripada situ baru lah kita boleh membuat satu kesimpulan dan mengambil langkah ke hadapan,” ujarnya.
Pada April 2022, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keseluruhan Seksyen 4 POCA 1959 adalah tidak berperlembagaan dan menasihatkan agar semua tangkapan yang dibuat oleh PDRM di bawah akta berkenaan ditangguhkan hingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. – UTUSAN










