PM mahu projek pembesaran LTAPP dipercepat

PM mahu projek pembesaran LTAPP dipercepat

ANWAR Ibrahim (empat dari kanan) mketika merasmikan Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) perlu dipercepatkan bagi menampung keperluan penumpang yang semakin bertambah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membesarkan LTAPP seperti yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, Pulau Pinang popular sebagai lokasi tarikan pelancongan yang sangat berjaya, namun, berdepan dengan masalah kesesakan di lapangan terbang.

“Untuk melaksanakan projek ini, sudah semestinya ia memerlukan kajian dan di peringkat Kerajaan Persekutuan, projek ini mungkin bermula pada akhir tahun (2024).

“Insya-Allah, hari Rabu depan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, mungkin selepas mendapatkan laporan, saya nak tahu boleh tak kita percepatkan (projek pembesaran LTAPP) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Terdahulu, ketika pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengumumkan pembesaran LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan akan menyegerakan dana bagi membolehkan projek pembesaran LTAPP yang dijangka mengambil masa dua sehingga tiga tahun itu dijalankan.

“Kita ada keupayaan untuk melakukannya,” kata beliau.

Untuk rekod, LTAPP telah dinaik taraf pada 2013 untuk menampung 6.5 juta penumpang setahun, namun, jumlah penumpang meningkat pada 2019 apabila merekodkan sejumlah 8.3 juta penumpang setahun.

Kementerian Pengangkutan juga pernah meluluskan cadangan pembesaran lapangan terbang itu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, tetapi, ia ditangguhkan selepas berlaku pertukaran pentadbiran dalam Kerajaan Persekutuan pada awal tahun 2020.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN