Pinda perlembagaan tentukan nasib 6 ahli Parlimen Bersatu

Pinda perlembagaan tentukan nasib 6 ahli Parlimen Bersatu sokong PM

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin ter­tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa ‘riwayat’ enam ahli Parlimen dari parti itu yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri bakal tamat menerusi pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berharap parti itu akan kembali bangkit dan terus mara dalam arena politik negara selepas perhimpunan itu berlangsung.

“Insya-Allah, maka tamatlah riwayat enam jahanam, mudah-mudahan Bersatu kembali bangkit dan terus mara,” katanya da­lam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu menulis kenya­taan tersebut berserta surat makluman mesyuarat bertarikh 13 Februari lalu dan ditandatangani Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perhimpunan khas itu akan diadakan selama dua jam bermula pukul 3 petang di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Seramai enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan soko­ngan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 29 Januari lalu, Bersatu dilaporkan akan mengambil langkah undang-undang bagi membolehkan sesebuah kerusi itu diisytihar kosong jika wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Pada 30 Januari lalu, Suhaili yang digantung keahlian enam tahun oleh Bersatu, mencabar parti itu memecat semua ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin mendakwa ada 10 lagi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) akan menyokong kerajaan, namun beliau tidak menyatakan secara khusus nama, kawasan yang terlibat dan garis masanya.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan akan berlaku sebelum mesyuarat Dewan Rakyat pada 26 Februari ini.

Fasal 10 Perlembagaan Bersatu menyatakan isu pemberhentian dan pemecatan ahli parti. Ahli yang mahu berhenti hendaklah memaklumkan keinginan mereka kepada setiausaha agung secara bertulis.

Ia juga menyebut peruntukan bagaimana seseorang itu terbatal keahliannya apabila meminta untuk berhenti, mengisytiharkan keluar parti, menyertai parti lain, bertanding sebagai calon bebas, menjadi pencadang atau penyokong dalam mana-mana pilihan raya, dipecat selepas melalui proses tatacara disiplin atau merujuk sesuatu isu parti atau haknya ke mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN