Petisyen untuk pertahan undang-undang - Nik Elin

Petisyen bukan bersifat peribadi tapi untuk pertahan undang-undang – Nik Elin

NIK Elin Zurina Nik Abdul Rashid pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berkata, petisyen yang dikemukakan bagi mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan berlandaskan kepada kepentingan peribadi sebaliknya bertujuan mempertahankan kedaulatan negara.

Ujarnya, selaku peguam beliau percaya memang tugas pegawai mahkamah untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan undang undang.

Tambah Nik Elin, meskipun dikeji, dihina dan dilemparkan dengan kata-kata kesat berikutan petisyen itu, beliau tetap bersyukur kerana berjaya menegakkan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan Malaysia.

Sementara itu, ketika ditanya reaksi penduduk Kelantan ketika dia pulang ke kampung, Nik Elin memberitahu tiada apa yang tidak baik berlaku.

“Saya balik Kelantan saya tiada kena kecaman pun, semuanya menyokong saya. Kalau yang kata (ada kecaman) saya rasa itu manipulasi fakta sebab saya tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan memberitahu pihak media, beliau akan mempersembahkan keputusan itu kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V secepat mungkin.

Sambil meluahkan kekecewaan dengan keputusan tersebut, beliau yang mewakili rakyat Kelantan berkata, penghakiman tersebut tidak akan berhenti setakat itu.

Akuinya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sudah lama dikuatkuasakan dan tidak mempunyai sebarang masalah.

“Sebenarnya dalam mesyuarat exco, kita telah pun wujudkan satu jawatankuasa untuk meneliti perkara ini. Kita akan dapatkan penghakiman bertulis dan mencari jalan apa yang sepatutnya kita lakukan,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin, 62, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN